TERLETAK di Wotton-under-Edge dalam daerah Gloucestershire di England, rumah penginapan Ancient Ram Inn dikenali sebagai salah satu lokasi paling berhantu di England.

Rumah ini telah dimiliki oleh ramai pemilik sejak dibina pada tahun 1145. Ia juga pernah dimiliki oleh Gereja St. Mary semasa mula-mula ia dibangunkan.

Asalnya rumah ini dibina untuk menempatkan para pekerja binaan yang membina gereja di kawasan kejiranan tersebut. Kemudian pada tahun 1154, direkodkan ia menjadi kediaman pendeta pertama bernama Gerinus.

Ancient Ram Inn. Rumah ini telah dibina pada tahun 1145.
Ancient Ram Inn merupakan salah satu lokasi paling berhantu di England.

Ada yang mengatakan ia dibina di atas tapak perkuburan purba yang menjadikan kanak-kanak sebagai korban. Tak kurang juga kisah yang mengatakan tapak bangunan ini pernah menjadi tempat ahli sihir dihukum dan dibakar pada zaman dahulu.

Ada juga kisah pembunuhan yang pernah berlaku di rumah ini. Anak kepada seorang penjaga rumah ini telah mati digantung di loteng rumah.

Sejak dahulu, pelbagai kisah misteri dan jelmaan aneh dikaitkan dengan rumah ini. Antara jelmaan yang sering dilihat ialah kelibat biarawan.

Terdapat sebuah bilik yang disebut The Witch’s Room yang dikaitkan dengan ahli sihir yang ditangkap lalu dihukum bunuh di sini sekitar tahun 1500. Dikatakan bilik tersebut amat menyeramkan dan mereka yang memasukinya mengatakan sering berasa ada seseorang memerhatikan mereka.

Antara bilik di rumah ini.
Sebahagian bahagian dalam rumah ini.

Ramai tetamu tidak tahan menginap di sini kerana gangguan yang mereka alami. Bukan saja menyaksikan kelibat-kelibat aneh, para tetamu juga melihat perabot beralih sendiri dan banyak barangan berpusing, bergerak bahkan terbang sendiri yang menakutkan mereka.

Ada juga tetamu yang ditolak jatuh dari katil selain mendengar pelbagai bunyi menakutkan seperti suara orang menangis, menjerit dan bunyi kanak-kanak bermain yang tidak kelihatan kelibatnya.

Suara tangisan dan jeritan budak kecil juga sering didengari. Dikatakan ia datang dari salah satu bilik di mana budak itu mati dibunuh.

Dikatakan terdapat lebih 20 jenis hantu yang mendiami rumah penginapan ini. Antaranya roh gadis kecil bernama Rosie. Tak kurang juga gangguan dari syaitan Incubus.

Rumah ini menjadi lokasi popular dikunjungi kumpulan paranormal. Pernah ketika membuat rakaman, mereka merakamkan suara aneh seseorang yang menyuruh mereka semua keluar dari situ. Tak kurang juga yang merakamkan entiti aneh dalam foto yang diambil.

Antara entiti aneh yang muncul dalam foto yang dirakam daalm rumah ini.

Orang biasa memang takut untuk menginap di rumah ini. Namun ia menjadi lokasi popular bagi golongan ahli paranormal dan mereka yang suka dengan kisah-kisah misteri untuk menginap dan merasakan pengalaman aneh di rumah ini.

Namun, sekarang rumah ini tidak lagi dibuka untuk penginapan. Tetapi ia masih dibuka sebagai satu destinasi untuk kunjungan pelancong, terutama mereka yang gemarkan kisah-kisah mistik.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen