Proses tender bagi pembinaan bangunan dan fasiliti SK Long Bemang di Baram, dekat Miri akan dibuat selewat-lewatnya bulan Februari./ Gambar FB Dr Radzi Jidin.

PROSES tender bagi pembinaan bangunan dan menaik taraf fasiliti Sekolah Kebangsaan (SK) Long Bemang di Baram akan dibuat selewat-lewatnya Februari ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin. GAMBAR: Abd Razak Aid

Perkara itu dimaklumkan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin menerusi satu hantaran di Facebook selepas menerima laporan mengenai murid Tahun Dua yang terjatuh dari beranda sekolah itu kerana kayu penghadang telah reput.

“Sebagai tindakan segera, Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak telah menyediakan sejumlah peruntukan bagi pelaksanaan kerja-kerja menggantikan kayu penghadang koridor dan pembaikan kecil lain di sekolah tersebut yang kini giat dilaksanakan dan sebahagiannya telah siap.

“Kementerian Pendidikan akan memastikan pelaksanaan projek penggantian di sekolah itu berjalan lancar dan proses pelantikan kontraktor selepas tender dibuka kelak dimuktamadkan secepat mungkin,” kata beliau. 

Menurut Dr Radzi, pelaksanaan proses itu adalah bagi membolehkan fasiliti yang lebih kondusif dan selamat disediakan untuk warga sekolah.

Katanya sekolah itu sudah dimasukkan dalam senarai projek pembangunan atau penyelenggaraan bangunan daif di bawah KPM. 

Baca: Radzi minta SPP segerakan temuduga guru interim

Semalam, seorang pelajar perempuan berusia sembilan tahun dilaporkan cedera selepas terjatuh dari beranda sekolah itu pada Rabu lepas. 

“Saya doakan agar adik Aliccia terus diberikan kesihatan yang baik dan dapat kembali ke sekolah.

“KPM sentiasa berusaha untuk menyediakan infrastruktur sekolah yang selesa dan selamat demi kelangsungan pendidikan anak-anak generasi pewaris negara,” jelas Dr Radzi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram