Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad GAMBAR: Abd Razak Aid

KESIHATAN Tun Dr Mahathir Mohamad kini stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan lanjutan prosedur elektif yang dijalankan 8 Januari lalu.

Perkara itu dimaklumkan anak bekas Perdana Menteri itu, Datin Paduka Marina dalam satu kenyataan hari ini.

“Sejak dua hari lalu, Tun Dr Mahathir Mohamad dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) lanjutan prosedur elektif yang berjaya dilaksanakan pada 8 Januari.

“Keadaan beliau kini stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan tersebut.

“Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta keluarga memohon agar rakyat mendoakan supaya beliau segera sembuh sepenuhnya,” kata Marina.

Baca: Dr Mahathir sekali lagi dirawat di IJN

Perdana Menteri lawat Tun M

Ahli Parlimen Langkawi itu dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari lalu selepas dimasukkan ke pusat perubatan tersebut pada 7 Januari.

Menurut laporan Bernama, beliau menjalani prosedur perubatan elektif yang dikendalikan sepasukan doktor dari institut itu dan Pusat Perubatan Universiti Malaya.

Puluhan wakil media mula berkumpul di luar IJN sejak 12 tengah hari tadi bagi mendapatkan perkembangan terkini status kesihatan Dr Mahathir.

Difahamkan IJN akan mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara itu.