SELEPAS lapan hari ditempatkan di Hospital Sungai Buloh, pelakon Iman Suhana dibenarkan pulang ke rumah sebaik sahaja bebas daripada wabak maut, Covid-19.

Menerusi perkongsian di Insta-Story bagi pemilik nama Norsuhana Mohamad Wahid, 32, dia turut meluahkan rasa syukur apabila doktor mengesahkan kandungannya yang berusia lapan bulan berada dalam keadaan baik.

“Allahu nikmatnya dapat berehat di rumah dan tidur di katil sendiri. Lega, syukur alhamdulilah,” katanya.

Tambah Iman, sebaik sahaja mengetahui dirinya disahkan positif Covid-19 pada minggu lalu, dia menjalani kuarantin selama dua hari di rumah.

Bagaimanapun, pihak hospital mengambil keputusan untuk menempatkannya di wad untuk memantau tahap oksigen dan bacaan jantung bayi.

“Saya baru saja dibenarkan pulang semalam selepas lapan hari menjalani kuarantin di Hospital Sungai Buloh bagi memantau keadaan saya yang berisiko tinggi kerana berbadan dua.

“Sebelum dimasukkan ke hospital, saya terlebih dahulu menjalani kuarantin di rumah selama dua hari tapi doktor menyarankan saya ditahan di wad supaya dapat memantau bacaan jantung bayi dalam kandungan dan oksigen saya,” ujarnya.

Malah, pelakon drama Takdir Yang Tertulis itu berkata, dia terpaksa menyembunyikan berita duka ini untuk menjaga emosinya dan terlalu khuatir dengan nasib kandungannya.

“Ketika saya dapat tahu positif virus ini, saya memang mendiamkan diri dan tidak beritahu sesiapa sebab saya tak kuat nak hadapi situasi ini. Tambah lagi, saya risaukan keadaan anak dalam kandungan.

“Malah, menjalani kuarantin di hospital saya akui sangat mencabar sebab tidak boleh pergi ke mana-mana dan terpaksa berjauhan dengan anak sulung buat pertama kali,” luahnya seperti memetik laporan Kosmo!.

Terdahulu, Iman telah disahkan positif Covid-19 selepas menjadi kontak rapat suaminya, Muhammad Syazwan Ibrahim,32 dan tidak mengalami sebarang gejala serius.

Iman dan Syazwan mendirikan rumah tangga pada 16 Mac 2018 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Maya Inara, 3.

Sumber: Kosmo!