PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob beramah mesra dengan kakitangan Kemas selepas mengadakan perjumpaan tertutup bersama kakitangan Kemas daerah Bera di Pejabat Kemas Bera, hari ini. GAMBAR: BERNAMA

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengingatkan guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) agar tidak mengabaikan tugas hakiki sebagai pendidik walaupun diberi kebenaran untuk berpolitik.

Beliau berkata, perincian mengenai kebenaran berpolitik itu akan dikeluarkan pihak terlibat seperti Kemas, dan akan dirujuk bagi persetujuan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) sebelum dijadikan panduan kepada golongan itu.

“Kita kena tunggu perincian ini, yang akan menentukan sejauh mana had yang dibenarkan (untuk berpolitik)… seperti adakah mereka boleh memegang jawatan dalam parti, tiada larangan untuk menghadiri program politik dan tidak akan dikenakan tindakan seperti sebelum ini.

“Kita beri kebenaran ini sebagai menghormati amalan demokrasi, dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) juga bersetuju dengan kebenaran itu. Namun sekalipun dibenarkan, jangan sampai ia menjejaskan kerja hakiki,” katanya.

Ismail Sabri berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri perjumpaan tertutup bersama kakitangan Kemas daerah Bera di Pejabat Kemas Bera, hari ini.

Baca artikel berkaitan: Kerajaan benarkan guru, petugas Kemas berpolitik berkuat-kuasa serta merta – PM

Mengenai jangkaan bila perincian itu dapat diumumkan, Ismail Sabri berpandangan ia tidak akan mengambil masa lama memandangkan garis panduan kebenaran berpolitik kepada golongan pendidik sudah ada sebelum ini, iaitu sebelum kebenaran itu disekat semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Sekarang pihak terlibat kena lihat semula apa yang telah digariskan dan mungkin lakukan penambahbaikan yang diperlukan. Ini juga kita serahkan kepada Kemas,” katanya.

Semalam, Ismail Sabri pada sidang akhbar selepas menghadiri pertemuan tertutup bersama Biro Politik UMNO Kelantan mengumumkan kebenaran berpolitik kepada guru dan kakitangan Kemas, yang sekali gus menyebabkan pekeliling yang menyekat golongan pendidik daripada berbuat demikian sebelum ini, tidak lagi terpakai.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram