HARI ini DCCK ingin membawa anda kepada satu persoalan untuk diperbincangkan dan difikirkan bersama. Biasanya isu ini dipandang sepi namun sebagai masyarakat prihatin, perkara ini harus dilihat dengan serius kerana pesalah tidak seharusnya dibiarkan bermaharajalela dan berterusan membuli sesuka hati.

Sebagai ketua keluarga dan ibu, kita mahu memberikan yang terbaik kepada anak-anak. Malah kalau boleh, ketika mendidik kita tidak mahu memukul walaupun mereka melakukan kesalahan. Dan kita membuat perancangan yang terbaik sehingga anak-anak menjejakkan kaki ke alam persekolahan. 

Doa ibu sentiasa mengiringi anak-anak demi kejayaan dan masa depan mereka. Tidak ada ibu yang mahu anak-anaknya gagal. Kalaupun ke sekolah pondok atau sekolah agama, niat ibu tetap mahukan anak mereka berjaya apatah jika dapat menghafaz 30 juzuk Al-Quran. Kalau pun tak dapat menjadi ustaz penceramah popular. 

Begitu tinggi harapan seorang ibu terhadap anak anaknya. Tetapi cuba anda bayangkan betapa hancurnya hati mereka apabila anak yang menjadi harapan keluarga bertukar menjadi mangsa buli, yang akhirnya cedera parah dan tidak kurang menemui maut! 

Dahulu, memang tidak ramai anak-anak yang menjadi mangsa buli yang kita tahu, sebab tidak dilaporkan. Bukan macam sekarang, ada media sosial. Kalau dulu memang langsung tidak ada berita, kecuali apabila ada yang maut, barulah beritanya tersiar. Kita juga tak tahu berapa ramai anak yang lari dari sekolah, atau ibu bapa tidak membuat laporan polis bahawa anaknya didera dan dibuli, atau kes buli didiamkan oleh pihak sekolah demi menjaga nama baik sekolah. 

Walau apa pun keadaannya, ibu tetap ibu, ada perasaan apabila melihat gambar seseorang yang menjadi mangsa buli dalam media sosial. Bukan seorang namun ada lebih daripada lapan orang pelaku. Apa perasaan anda? Cuba fikirkan apa anda akan lakukan jika anak yang jadi mangsa buli itu anak anda? 

Paling menyakitkan hati apabila ada pihak tertentu, sekolah, kolej atau sebagainya berusaha cuba menutup kes tersebut selain menyalahkan mangsa yang teruk di belasah itu sebagai orang yang bersalah? Dituduh mencuri dan sebagainya. Sementara mereka yang bertindak kejam, membuli dan membelasah anak anda cuma dikenakan tindakan disiplin sahaja. 

Alangkah sedihnya jika anak anda menjadi mangsa. Sedangkan si ibu sendiri tidak pernah mengasari si anak sebagaimana yang dilakukan pembuli.

Memang kerajaan, kementerian dan sekolah telah memberi amaran demi amaran, tetapi tidak ada sebarang tindakan tegas dilakukan, demi menjaga nama baik sekolah. Kecuali apabila anak yang menjadi mangsa itu mati barulah tindakan akan diambil dilakukan.

Walau bagaimanapun masih banyak kelemahannya, di mana si pembuli cuma diambil tindakan dibuang sekolah atau tindakan disiplin sahaja, sedangkan anak anda sudah jadi arwah. 

Buang sekolah bukan jawapannya. Pembuli akan pergi sekolah lain atau sekolah swasta, jika ibu bapa mereka orang berduit. Dan mungkin dia akan mengulangi perbuatan yang sama, walaupun tidak sekejam dahulu. 

Persoalannya mengapa kes buli terus berlaku? Adakah di sekolah sendiri punya kumpulan gangster? Jika benar mengapa tidak ada tindakan? Apakah sekolah dan Kementerian Pelajaran bersikap tunggu dan lihat, hingga lebih banyak kes buli yang mati dan cacat teruk baru hendak bertindak? 

Sebenarnya kes buliini bukan sahaja berlaku di sekolah berasrama penuh, malah telah merebak di kalangan mereka yang sudah bekerja seperti dalam anggota tentera.

Adakah pembuli-pembuli inilah yang terlepas dari sekolah dahulu, dan mereka masih melakukan perangai buruk yang sama walaupun setelah bekerja dan ada yang berpangkat. Perangai buruk itu tetap terbawa-bawa dan ada dalam diri mereka, kerana itu, mereka tetap suka membuli orang.

Tetapi sedarkah, perbuatan senior, rakan atau pegawai yang suka membuli orang bawahannya  bahawa tindakan mereka telah merosakkan masa depan mangsa buli.

Cuba kita fikirkan, jika seseorang itu dibuli oleh senior atau pegawainya dan dia sudah tidak tertahan lagi terus-terusan dibuli, si mangsa cuma ada dua pilihan sahaja, iaitu dia terpaksa berdiam diri dan terus tahan dibuli dengan lebih teruk lagi, sebab si pembuli bukan sahaja sudah berani, malah gembira dengan sikapnya suka melihat orang lain terseksa dan dia jadi hero. 

Kedua si mangsa terpaksa bertindak lari daripada perkhidmatan kerana sudah tidak tahan dibuli. Dan dia tahu perbuatannya itu akan merosakkan masa depannya dan bakal menerima hukuman lebih berat lagi seandainya dibawa kembali ke kem.

Sebenarnya inilah perasaan yang terpaksa ditanggung oleh seorang ibu yang anaknya menjadi mangsa buli. Anaknya tidak mahu kembali bertugas dalam angkatan tentera. Walau dipujuk sekali pun, katanya cukuplah penganiayaan yang diterimanya selama ini.

 

“Saya tak mahu paksa dia lagi dan saya pertahankan dia, sebab saya takut dia akan jadi mangsa lebih teruk lagi. Dan saya terbaca banyak kes seperti anak saya, yang berakhir dengan kematian. Dan alasan sebab kematian yang diberikan memang tak masuk akal. 

“Masalahnya sekarang anak saya bukan lagi rakyat Malaysia, dia bergelar pendatang tanpa izin, sebab dia tidak ada kad pengenalan . Tanpa pengenalan diri itu dia tidak boleh bekerja untuk menyara hidup, tak boleh berkahwin dan berkeluarga. Kerana pengenalan dirinya disimpan oleh pihak tentera. 

“Persoalannnya apa akan jadi kepada nasib dan masa depan anak muda yang lari dari perkhidmatan ini? Sedangkan usianya belum pun sampai 26 atau 27 tahun?. Siapakah dan syarikat manakah yang berani ambil mereka bekerja tanpa kad pengenalan? Dia boleh ditangkap dan didakwa sebagai pendatang. Lagi parah! Sia sia sahaja sijil dan diploma yang dia belajar berhempas pulas untuk melayakkan dirinya diterima bekerja. Memang sia-sia. 

“Lagi teruk jika dia ingin berkahwin, apakah bukti boleh dia tunjukkan kepada tuan khadi bahawa dia rakyat Malaysia. Tambahan sekarang tanpa kad pengenalan, anda tidak akan dapat Mysejahtera, tak dapat suntikan apa lagi dos penggalak. Jadi siapa yang berani berkahwin dengannya atau ambil dia bekerja? Apatah lagi untuk mencari rezeki. 

“Penderitaan anak saya ini memang kami sebagai ibu bapa terpaksa menanggungnya. Selagi kami tidak berdepan dengan tindakan lebih berat lagi. Dan selagi kami masih hidup. 

“Terus terang saya tidak berdaya mendesak anak saya kembali berkhidmat, kerana banyak berita yang kami baca dan lihat ianya berakhir dengan kematian. Paling sedih bila ada anak muda ini mati kerana terjatuh dari bangunan! Allah!! Bolehkah berita ini kita terima bulat-bulat? 

“Kepada ibu bapa dan keluarga yang mungkin `berani’ dan berduit dia akan minta kes kematian anaknya disiasat. Jika tidak kerana kepayahan hidup ibu bapa si mati terpaksa redha menerima berita ini dengan penuh kesedihan. 

“Jadi sebelum keadaan ini berlaku, maka sebagai ibu saya terpaksa bertindak pertahankan anak saya dan tidak benarkan dia meneruskan perkhidmatan. Kerana kami tidak mahu terima berita atau terima mayat anak kami terbujur depan mata kami. 

“Tanpa bukti kukuh dari doktor bahawa anak saya dipukul dengan kecederaan parah, mungkin saya boleh serahkan dia kembali kepada angkatan tentera, tetapi dengan bukti depan mata, saya tidak boleh paksa anak saya kembali berkhidmat, walaupun sudah beberapa kali dipanggil. 

“Cukuplah anak saya diseksa, saya tidak mahu dia teruskan perkhidmatannya. Sebab saya tak mahu anak saya kembali kali kedua sebagai mayat. Cukup-cukuplah dia diseksa, sebab saya sendiri tidak pernah pukul anak saya sedemikian teruk. 

“Saya sedar masa depannya memang gelap, dia tidak akan dapat bekerja tanpa kad pengenalan, bakal tidak boleh berumahtangga, dan dengan apa dia boleh meneruskan hidup tanpa kad pengenalan selain sentiasa ketakutan akan ditangkap. 

“Harapan saya sebelum menyalahkan anak saya, cuba siasat mengapa dia berani keluar dari perkhidmatan tentera. Mengapa dia dibuli, siapakah pembuli itu dan mengapa dia membuli. Siasat jangan hanya menyalahkan sebelah pihak sahaja. 

“Kepada pembaca fikirlah hari ini mungkin terjadi kepada anak saya. Mungkin esok lusa anda pula menghadapinya? Dunia ini sentiasa berputar, yang di atas bukan sentiasa di atas, satu ketika nanti akan ke bawah juga,’’ begitulah luahan hati si ibu ini dengan nada teramat sedih, kerana memikirkan nasib dan masa depan anaknya yang bertambah gelap.