WALAUPUN memiliki darah kacukan Melayu dan Inggeris, Anna Jobling, 22 tidak malu mengaku berasal dari Melaka.

Malah, menurut pemilik nama lengkap Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman itu, ramai orang tidak menyangka dia berasal dari bandar bersejarah itu disebabkan personalitinya yang sopan dan tidak kasar.

“Ramai terkejut apabila saya kongsi di Insta-Story kerap berada di Melaka. Ramai mesej tanya saya orang Melaka ke? Bila saya beritahu saya orang Melaka, mereka terkejut sebab katanya saya tak kasar dan lembut sahaja.

“Orang Melaka ini memang nampak kasar dan lantang dalam percakapan tapi sebenarnya itulah cara kami. Kalau orang yang tak kenal mesti ingat kami macam tengah marah, tapi jangan risau kami sangat ramah,” katanya memetik laporan mStar.

Tambah Anna, meskipun dia dibesarkan di Kuala Lumpur sekaligus telah mempengaruhi gaya personalitinya.

“Walaupun saya dari Melaka tapi saya tak membesar di sana, jadi mungkin itu sebab saya tak lantang atau kasar.

“Cuma saya kerap pulang ke kampung ibu di sana dan kebanyakan saudara mara saya memang ikut cara orang Melaka.

“Saya okay sahaja berbual dengan mereka sebab sudah terbiasa…memang riuh dan seronok kalau dapat berjumpa. Sejujurnya saya bangga mengaku saya orang Melaka,” luahnya.

Dalam pada itu, pelakon filem Pasal Kau itu berkata, membesar dalam dua budaya berbeza tidak memberi masalah pada dirinya.

Pun begitu, dari segi berkomunikasi dalam bahasa Melayu, ia memberi cabaran terbesar buat dirinya lebih-lebih lagi selepas terlibat dalam industri seni.

“Bagi saya, tak susah pun membesar dalam dua budaya berbeza sebab saya dah terbiasa sejak kecil lagi dengan dua budaya itu secara semula jadi. Lagi pula kita di Malaysia, kalau saya membesar di luar negara mungkin agak mencabar.

“Cabaran itu ada apabila saya masuk dalam industri kerana sebelum ini saya kurang bergaul dengan orang Melayu tapi sekarang saya bekerja dalam kelompok masyarakat Melayu dan pelbagai bangsa.

“Saya kena belajar lagi perbaiki cara percakapan bahasa Melayu saya, walaupun muka saya macam mat salih tapi saya tak nak dikatakan mat salih, saya nak orang tahu saya ada darah Melayu dan bangga jadi orang Malaysia,” akhirinya.

Untuk info, Anna merupakan bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019 dan pernah melibatkan diri dalam beberapa pertandingan ratu cantik seperti Miss Melaka dan Miss Pahang.

Sumber: mStar