“Doa jodoh itu dipanjangkannya di hadapan Kaabah. Pada detik itu, bagai hadir isyarat jodoh yang sudah tertulis antara kami”.

Demikian luahan penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Datin Seri Heliza Helmi saat berkongsi bibit perkenalan dengan suaminya, Datuk Seri Mahadi Badrul Zaman.

Menurut Heliza,36, semuanya bermula apabila Mahadi yang dipanggil Abang Dee menghantar mesej langsung (DM) di Instagramnya untuk bertanyakan tentang bantuan kemanusiaan yang ingin dihulurkan.

“Mesej yang dihantar itu sebenarnya cukup rawak. Seperti orang lain yang akan bertanyakan mengenai bantuan yang mahu diberikan dan sebagainya.

“Saya membalas pertanyaannya (Mahadi) sama seperti orang lain. Momen itu berlaku sepintas lalu tanpa ada sebarang pertemuan. Selepas itu tiada apa apa pun terjadi.

“Malah masing-masing meneruskan kehidupan seperti biasa. Hendak dijadikan cerita saya dapat tahu dia mahu menunaikan umrah.

“Saya pula jenis yang selamba akan mengirimkan doa untuk dipanjangkan di Tanah Suci Makkah. Saya suka kirim doa kepada sesiapa termasuk mereka yang tak dikenali seperti netizen.

Kita pun tak tahu doa siapa yang akan dimakbulkan Tuhan,” katanya kepada URTV.

Tambah Heliza, salah satu doa yang dikirimkan kepada Mahadi termasuklah perihal jodoh.

“Doa jodoh itu dipanjangkannya di hadapan Kaabah. Pada ketika detik itu juga, bagai hadir isyarat yang jodoh tertulis antara kami .

“Dipendekkan cerita, Abang Dee bertemu keluarga untuk menyunting saya. Seterusnya, Allah lorongkan semua itu kepada ikatan ijab kabul,” tuturnya.

Ditanya ciri-ciri yang dimiliki Mahadi yang juga pengasas dan Presiden AUF MBZ Consortium, iaitu syarikat yang menawarkan perkhidmatan pelaburan kewangan, Heliza dengan rendah hati mengakui sukar mengungkapkannya dengan kata kata.

“Sesuatu mengenai Abang Dee yang susah nak diterangkan dalam satu perkataan atau baris ayat.

“Dia… Masya-Allah, Subhanallah, Alhamdulilah. Dialah syurgaku. Saya bersyukur dikurniakannya. Moga mudah-mudahan doa rumah tangga kami sampai ke jannah,” luahnya.

Dalam pada itu, Mahadi secara jujur menggambarkan jodohnya dengan isteri seperti sebuah perjalanan mencari permaisuri hati yang boleh hidup bersama selama-lamanya.

“Moga ikatan ini terus berada dalam sakinah, mawaddah, rahmat dan sampai jannah. Jodoh saya akhirnya tertulis di usia 38 tahun. Sampai berjanggut panjang saya tunggu jodoh ini.

“Ia satu penantian panjang yang terjawab dan berbaloi apabila berjodoh dengannya. Kesudahan dan nikmat ini cukup menggembirakan hati dan disyukuri.

“Allah bagi jodoh sepertinya… Masya-Allah, Alhamdulilah dan cukup lengkap serta sempurna segala segi. Pandang dia rasa sejuk hati,” katanya yang cukup tebal dengan loghat utara.

Bercakap mengenai majlis persandingan bagi meraikan pasangan ini yang dianjurkan teman baiknya, Mila Jirin, malam tadi, Heliza menganggap ia simbolik 15 tahun persahabatan mereka yang terjalin sejak di Akademi Fantasia musim kelima.

Foto ihsan Bizmilla Wedding Centre

“Selesai majlis pernikahan dan resepsi, saya dan suami tak ketinggalan diraikan teman baik yang bersungguh-sungguh menganjurkan beberapa majlis.

“Dia (Mila) memang sudah berniat sekian lama. Kalau saya kahwin, dia mahu hadiahkan majlis persandingan.

“Dia sendiri siapa tak kenal memang ‘tauke majlis kahwin’ sejak 2013 selepas tak lagi fokus dalam dunia seni. Masa dia suarakan hasrat itu, saya terkejut. Malah bertambah segan kerana hadiah itu terlalu besar nilainya.

“Tapi dia bersungguh-sungguh nak juga memenuhi niat terbuku itu. Akhirnya saya ‘tewas’. Lantas saya pun teringat Nabi Muhammad sendiri tidak menolak hadiah pemberian sahabatnya. Saya pun ikut sunah Nabi dengan menggembirakan Mila,” kongsinya.

Foto ihsan Bizmilla Wedding Centre

Heliza dan Mahadi diraikan Mila pada majlis persandingan bertemakan Malam Islamik di Bizmilla Grand Ballroom, Eco Sanctuary, Selangor.

Malah Heliza yakin Mila dan perniagaan perkahwinannya menjadi asbab untuk terus mengeratkan dan menyatukan silaturahim sesama insan.

Foto ihsan Bizmilla Wedding Centre

“Penerimaan dan persetujuan hadiah itu juga membuka ruang dan harapan kepada tetamu yang datang majlis itu sama-sama berkongsi kegembiraan dan keberkatan.

“Saya yakin hadiah itu adalah aturan Allah melalui Mila untuk diri ini. Dapat jugalah rezeki sahabat dan insan lain yang saya kenali hadir ke majlis termasuklah teman dan tenaga pengajar AF5.

“Majlis Maulid juga diadakan seperti sebelum ini bertujuan memuliakan Nabi SAW. Turut diadakan majlis bacaan Al-Quran serta perkongsian ilmu bermanfaat daripada golongan asatizah,” katanya.

Foto ihsan Bizmilla Wedding Centre

Mengintai sisi persahabatan dengan Mila, wanita berasal dari Terengganu itu bersyukur mereka dipertemukan.

“Mila cukup bernilai, Masya-Allah. Saya ini tiada apa apa. Dia sangat hebat, baik, solehah dan segala serbi lengkap. Tuhan mempertemukan kami di AF5. Kami akrab walaupun tak sentiasa berhubung dan bersua.

“Namun hubungan dalam hati itu tetap mekar. Kami kalau ada kesempatan akan berkongsi pelbagai cerita termasuklah berborak fasal zaman dan kenangan dulu,” tuturnya.

Foto ihsan Bizmilla Wedding Centre