Sebahagian daripada peserta-perserta himpunan #TangkapAzamBaki berkumpul serta berarak di sekitar kawasan LRT Bangsar menuju ke Jalan Travers Bangsar, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

POLIS sedang mengenal pasti penganjur serta peserta yang terlibat dalam perhimpunan #TangkapAzamBaki bagi mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki ditahan, semalam.

Menurut laporan BH Online yang memetik Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, identiti sebahagian daripada penganjur dan peserta perhimpunan #TangkapAzamBaki itu telah pun dikenal pasti.

Menurut beliau, selebihnya sedang dalam tindakan secepat mungkin.

“Sebahagian sudah dikenal pasti dan selebihnya sedang dalam tindakan secepat mungkin,” katanya dalam satu jawapan ringkas.

Semalam, Amihizam dilaporkan berkata, pihaknya akan menyiasat penglibatan beberapa Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam perhimpunan Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) di Bangsar, semalam.

Siasatan akan dijalankan mengikut Akta Perhimpunan Awam 2012 selain Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Baca artikel berkaitan: Perhimpunan: Polis siasat penglibatan Ahli Parlimen, ADUN

Sementara itu, peguam, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata seramai 12 individu yang menyertai ceramah mendesak Azam ditahan di sebuah restoran di ibu kota Jumaat lalu pula akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields, esok.

Beliau berkata, individu yang dipanggil adalah Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Hasbie Muda; Naib Ketua Pemuda Amanah, Zubair Rahim; Pengarah Strategik Pemuda Amanah, Asmaalif Abdul Adam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How.

Turut dipanggil, Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Amanah, Abbas Azmi; Naib Presiden Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Dr. Thanussha Francis Xavier; Pengerusi Jalinan Nusantara Malaysia, Mohd Azam Mekar dan Setiausaha Angkatan Muda Keadilan (AMK), Syukri Razab.

Selain itu, aktivis, Adam Adli Abdul Halim; pensyarah, Dr. Abu Hafiz; peguam, Bakri Omar dan aktivis sosial media, Amira Aisha.

Semua individu itu akan dipanggil ke IPD Brickfields jam 2 petang esok.

“Saya akan hadir untuk mewakili Adam Adli bersama beberapa peguam lain yang turut mewakili individu lain yang dipanggil ke IPD Brickfields esok,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram