WABAK COVID-19 nampaknya sukar dikawal. Ada saja varian baharu terhasil saban hari. Pun begitu, semakin banyak negara memutuskan untuk rakyatnya menerima hakikat norma hidup baharu bersama wabak ini. Penyudahnya banyak negara bertekad untuk tidak meneruskan vaksinasi apatah lagi untuk melaksanakan PKP.
Keganasan wabak ini di Malaysia adalah sama dengan apa yang berlaku di seluruh dunia.
Akan tetapi rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, berdepan satu lagi wabak yang lebih ganas dari Covid-19 ini sekalipun ia tidak meragut nyawa. Ia adalah wabak politik gila tanpa sempadan yang mengabaikan etika politik murni. Ini kerana:
● Ramai sangat wakil rakyat melompat parti, melacurkan amanah yang diberikan pengundi kepadanya. Nampaknya, lompat melompat parti bukan satu dosa politik baginya. Gila sungguh.
● Parti politik berpaling tadah selepas menjalin muafakat dengan satu parti. Tanpa bercerai, berkahwin pula dengan seteru politik muafakatnya. Gila sungguh.
● Seteru dan rakan politik sudah tiada bezanya. Di dalam dan di luar kerajaan ada pembangkang. Di Parlimen mereka berseteru, tapi di luar mereka ada MOU untuk menjaga belakang masing-masing. Apa pun, mereka tetap bersama dalam mempertahankan kepentingan peribadi masing-masing. Ini lagi gila.
● Pemimpin politik yang berperanan ibarat kayu mati atau biawak hidup tidak terjejas kedudukan politiknya kerana setiap kerusi yang mereka pegang mempunyai kuasa penentu kedudukan Perdana Menteri dan kerajaan. Kestabilan kerajaan hanyalah untuk hari ini, esok belum tentu. Memang gila sungguh.
Khusus bagi orang Melayu, senario ini semakin suram dengan tertubuhnya begitu banyak parti politik baharu, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Ini pun satu kegilaan baharu.
Kesan penjajahan Barat + Timur lebih 500 tahun, yang dengan terancang telah meminggirkan bangsa Melayu di negara sendiri, telah disejarahkan betapa malapetaka yang menimpa bangsa ini. Namun, kemusnahan oleh tangan-tangan hitam kepimpinan Melayu terhadap bangsanya sendiri yang dilakukan pada masa ini akibat kegilaan politik semasa, hanya dapat disejarahkan menjelang tahun 2050 agaknya. Ketika itu sudah terlambat untuk orang Melayu menginsafi kerosakan yang dilakukan oleh pemimpin pada alaf ini. Ketika itu bukan saja nasi sudah menjadi bubur, orang Melayu entahkan bernasi entahkan tidak.
Baca artikel berkaitan: Tahun 2022 yang amat mencabar, bersedialah memasuki zaman kelam
Rosaknya kepala orang Melayu kerana semakin ramai dalam kalangan mereka diserang wabak yang menyebabkannya alami gila politik:
● Mereka yang jelas terpalit dosa dek mendakap erat sifat-sifat mazmumah sudah tidak segan silu mundar-mandir ke darat dan ke baruh menjual muka kononnya tidak berdosa. Mereka gila politik ibarat orang gila talak.
● Si pembodek melalak sakan mendewa-dewakan pemimpin mereka yang bersifat mazmumah itu. Mereka ini gila tak bertempat.
● Si cerdik pandai giat menaikturun pelbagai rencana menyanjung pemimpin beberapa negara asing, termasuk negara jiran, yang menerajui pembangunan negara masing-masnig membina kemakmuran yang kita cemburui, kerana pemimpin mereka faham erti sebenar kemakmuran. Ini pun satu kegilaan baru.
● Si penjawat awam rela mendiamkan diri dan diperguna oleh pemimpin gila kuasa dan penggerak ekonomi hitam. Mereka tak rela bangkit menegakkan prinsip dan etika perkhidmatan yang telah diakadkan.
● Alpanya bangsa Melayu membiarkan negara menanggung kos kepimpinan politik yang amat tinggi kerana menangani begitu ramai penjawat politik dan silih bergantinya satu demi satu PRN bagi penuhi nafsu politik sesama power brokers.
Berbakilah dua lagi punca kuasa dalam kalangan pemegang taruh bangsa Melayu yang jika sekiranya mereka ini bangkit dan bersuara, hendaknya akan ada perubahan yang diredai:
● Pemerintah hendaknya mengetahui masa terbaik untuk bertitah, untuk segala kecelaruan diperbetulkan sebelum terlambat. Sudah mula kedengaran suara dari sudut ini. Alhamdulillah.
● Gerakan masyarakat madani yang bermarkaskan institusi surau dan masjid mengembangkan sayap dan melebarkan skop amanahnya sebagai institusi yang bertanggung-jawab mengembalikan kepimpinan negara bercirikan sifat-sifat kepimpinan mahmudah para khalifah.
Konsisten dengan domain berkaitan dengan kepimpinan dan pemerintahan, andai kata kemakmuran yang dihasratkan, domain inilah yang pertama wajib diperbetulkan kiblatnya. Janganlah hendaknya kita berkhalifahkan mereka yang bak kata pepatah, “kayu yang bengkok masakan bayangnya lurus”.
Kepada Allah SWT kita semua berserah. Hendaknya berbaki dua kelompok pemegang taruh yang dinyatakan itu berdiri teguh, bersuara tegas dan memperbetulkan asas kemakmuran dalam erti kata yang sebenarnya.
Penulis merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram