PEMBANGKANG seharusnya segera menghentikan tuduhan kononnya UMNO merupakan parti gila kuasa dan tidak memahami kesusahan rakyat kerana mencetuskan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Hal demikian kerana Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohamad sendiri telah menyerahkan kuasa memilih kepada rakyat siapa yang mereka mahukan untuk mentadbir Johor.

Perkara itu ditegaskan Exco Pemuda UMNO, Bastien Onn dalam kenyataan hari ini yang beranggapan PRN Johor merupakan langkah terbaik untuk mengembalikan kestabilan politik supaya rakyat mendapat khidmat terbaik daripada kerajaan yang dipilih.

“Bagaimana Pakatan Harapan (PH) boleh menuduh UMNO gila kuasa sedangkan parti ini sedang memerintah dan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad menyerahkan kuasa kepada rakyat untuk memilih siapa yang mereka kehendaki mentadbir negeri ini.

“Pemergian bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian secara tidak langsung telah mewujudkan ketidakstabilan dari segi kedudukan di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Jangan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong buat-buat tidak faham perkara ini. Kerajaan pimpinan Hasni hari ini bergantung kepada majoriti tipis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bastien turut mempersoalkan bagaimana kerajaan hendak berfungsi sekiranya ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak dapat menghadiri persidangan Dewan Negeri untuk mengundi Rang Undang-Undang (RUU) atas pelbagai sebab tidak dapat dielakkan.

Baca artikel berkaitan: Khaled Nordin tidak bertanding dalam PRN Johor

“Kerajaan akan menjadi lumpuh sekiranya pembentangan bajet atau RUU yang melibatkan rakyat tidak dapat diluluskan kerana ketidakhadiran seorang sahaja di pihak kerajaan.

“Situasi itu akan menyukarkan Kerajaan Negeri Johor untuk menjalankan urusannya terutama berkaitan isu kesihatan, ekonomi dan pendidikan.

“Ini adalah langkah menstabilkan kerajaan bagi memberi khidmat kepada rakyat. Barisan Nasional (BN) menyerahkan kepada rakyat untuk menentukannya,” ujarnya.

Semalam, PH Johor menyifatkan tindakan UMNO mencetuskan PRN sebagai helah untuk mengambil kesempatan di kala ramai rakyat negeri itu berhadapan kesukaran untuk pulang mengundi.

Perkara itu ditegaskan dalam kenyataan bersama Pengerusi PH Johor yang juga Ketua Pembangkang DUN, Aminolhuda Hassan; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Chin Tong.

PH Johor juga tetap dengan pendirian bahawa sekarang bukan masa yang sesuai untuk mengadakan pilihan raya terutama dengan ancaman COVID-19 terutama varian Omicron, bencana banjir dan isu ekonomi yang sedang dihadapi ketika ini.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN untuk memberi laluan kepada PRN, Sabtu lalu.

Sultan Ibrahim sebelum itu berkenan menerima menghadap Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad pada pukul 5 petang di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

Pada pertemuan bersama Sultan Ibrahim, Hasni turut diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Azmi Rohani yang kemudian mempersembahkan watikah pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram