KECOH di media sosial rumah tangga penyanyi dan pengarah terkenal, Mawi bergolak gara-gara isterinya, Ekin tidak hadir di majlis pelancaran filem Hantu Kuat Ketawa.

Perkara tersebut telah mencetuskan pelbagai spekulasi negatif dalam kalangan netizen yang tidak sudah membuat andaian sendiri.

Enggan membiarkan netizen terus menyebarkan cerita tidak sahih yang boleh mencetuskan fitnah, Mawi tampil memberi penjelasan mengenai isu terbabit.

Menerusi Instagram pemilik nama Asmawi Ani, 41, dia memberitahu rumah tangganya dalam keadaan baik dan bukan seperti yang difikirkan oleh netizen.

“Baru-baru ini saya buat majlis pelancaran filem Hantu Kuat Ketawa di Hadramawt Kitchen Jalan Ampang.

“Biasanya isteri saya mesti ada dan teman saya. Tapi kali ini isteri saya tiada. Itu yang macam-macam andaian.

“Ada yang kata masalah rumah tangga pula…itulah lumrah manusia. Hanya melihat dan terus menghukum,” tulisnya.

Bagaimanapun, bekas juara Akademi Fantasia musim ketiga ini tidak kecil hati dengan andaian netizen sebaliknya mahu fokus kepada kerjaya.

“Tak kisah lah tu kan, malas nak fikir sangat, fikir sikit-sikit sahaja.

“Buat masa ini saya nak tumpukan pada promosi filem saya Hantu Kuat Ketawa yang akan mula tayang pada hari Khamis ini di Astro First saluran 480 atau On Demand,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Ekin turut menjelaskan dirinya tidak dapat hadir ke majlis pelancaran filem suaminya itu disebabkan anaknya, Cahaya Malaika, 10, disahkan positif Covid-19.

Berita duka itu telah mengganggu emosi dan mental penyanyi tersebut dan memerlukan masa untuk bertenang.

Untuk info, Mawi dan Ekin mendirikan rummah tangga pada 28 Disember 2008 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Cahaya Malaika, 10.