PADA zaman dahulu, ada sebuah pulau yang menjadi tempat permainan lima beradik puteri bunian. Namun, salah seorang daripada puteri itu jatuh cinta kepada seorang lelaki yang merupakan pelayar yang singgah ke pulau tersebut.

Walaupun dibantah oleh empat puteri yang lain, namun puteri itu tetap mahu hidup bersama manusia itu. Kerana marah, empat puteri itu telah menenggelamkan pulau tersebut.

Setelah beberapa lama, pulau itu timbul semula tetapi keadaannya berbeza apabila pulau itu telah ditumbuhi paya bakau.

Manakala versi cerita lain pula menceritakan, ada lima puteri kayangan yang sering bermain di pulau ini. Suatu hari, puteri yang bongsu jatuh cinta pada seorang lelaki yang singgah ke pulau itu dan telah hilang mengikut lelaki tersebut.

Empat puteri yang lain telah menyumpah pulau itu agar tenggelam dengan harapan adik mereka akan timbul. Tetapi adik bongsu mereka tidak juga ditemui. Akhirnya, pulau yang tenggelam itu telah bertukar rupa, timbul semula menjadi pulau yang dipenuhi lumpur dan pokok bakau.

Kisah di atas antara secuit mitos yang melingkari sebuah pulau terletak di hadapan bandar Kukup di Pontian, Johor.

Pulau Kukup di Johor.

Pulau yang dimaksudkan ialah Pulau Kukup. Terletak sekitar satu kilometer di luar pesisir barat daya negeri Johor, pulau ini berada di antara Selat Melaka dan Selat Kukup, dan telah dirasmikan sebagai Taman Negara pada Januari 2003.

Pada zaman dahulu, pulau ini begitu terasing dan tidak berpenghuni. Pelbagai kisah pernah dikaitkan dengan pulau ini.

Selain popular dengan kisah puteri bunian, ada juga kisah mitos tentang ular gergasi. Kononnya, Pulau Kukup dijaga oleh seekor ular yang saiznya amat besar.

Dikatakan ular itu menghuni kawasan lapang di tengah-tengah pulau tersebut. Tak kurang juga yang mengatakan ular gergasi itu sering berulang alik antara Pulau Kukup ke Pulau Pisang dan Pulau Karimon di Indonesia.

Tiada Yang Berani Duduk Di Pulau Ini

Dari sudut sains, ada yang mengandaikan Pulau Kukup muncul disebabkan letusan volkano seperti pembentukan kebanyakan pulau yang lain. Lazimnya, saat fenomena alam ini terjadi, plat tektonik bumi akan bergeser hingga menyebabkan daratan di dasar laut terangkat naik ke atas permukaan air. Daratan lumpur inilah kemudian kekal menjadi sebuah pulau.

Namun menurut Pengurus Taman Perbadanan Taman Negara Johor yang pernah kami wawancara dahulu, Pulau Kukup bukan disebabkan oleh letusan volkano. Pemerhatian yang pernah dilakukan oleh beberapa pihak sebelum ini mendapati pulau tersebut terbentuk dengan cara yang agak unik.

Ia terjadi akibat enapan delta. Mendapan tanah subur yang terdiri daripada lumpur, kelodak dan pasir telah dibawa arus sungai yang mengalir lalu terkumpul dan membentuk tanah delta. Tanah lumpur tersebut kemudian terbentuk menyerupai sebuah pulau yang dilihat seperti sekarang.

Pulau Kukup. Foto : Perbadanan Taman Negara Johor.

Diceritakan zaman dahulu ketika kewujudan Pulau Kukup disedari penduduk, ramai telah cuba menduduki kawasan itu. Namun semuanya tidak berhasil.

Kegagalan pulau itu untuk diduduki manusia turut dikaitkan dengan pelbagai perkara aneh yang banyak berlaku di situ sehingga timbul cerita bahawa pulau tersebut dihuni oleh makhluk ghaib. Semenjak itu, tiada seorang pun yang berani mendiami Pulau Kukup.

Di sebalik legenda dan kisah misteri itu, Pulau Kukup merupakan sebuah hutan paya bakau yang tidak berpenghuni kedua terbesar di dunia. Pulau dalam kategori yang sama terbesar di dunia berada di Brunei.

Pulau Kukup. – Foto : Perbadanan Taman Negara Johor.

Pulau Kukup mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai Tanah Lembab Berkepentingan Antarabangsa (Ramsar). Taman Negara Pulau Kukup berkeluasan 1,147 hektar, manakala keluasan hutan bakaunya seluas 647 hektar. Dataran lumpurnya seluas 800 hektar dan mempunyai 6 anak sungai.

Pulau ini kaya dengan spesies bakau asli, mamalia, reptilia, burung, ikan dan pelbagai jenis moluska dan krustasea. Pulau ini juga menjadi lokasi bagi burung Ramsar yang terbang dan singgah semasa berhijrah dari benua Australia semasa musim panas menuju ke hemisfera utara yang lebih sejuk.

Pulau Kukup – Foto : Perbadanan Taman Negara Johor.

Abdullah Munsyi, sasterawan Melayu terawal pernah mencatatkan : “Selat Kukup masa itu adalah seperti suatu bilik. Kalau berapa besar angin pun di situ teduh juga. Maka oleh sebab orang hendak berlindungkan angin lalu masuklah ke dalam jalan Selat Kukup itu. Maka di situlah tempatnya ditangkap perompak, sebab ia boleh kelihatan orang. Orang tidak boleh melihat dia. Maka sebab itulah kerap orang terserempak didapatinya dengan senangnya.”

Begitu catatan Abdullah Munsyi yang menggambarkan kegiatan lanun yang berleluasa di Pulau Kukup ratusan tahun lalu.

Menurut catatan ahli sejarah bernama Salleh Md. Don, kegiatan lanun yang aktif di situ pada zaman penjajahan Belanda (antara 1818 sehingga 1824) menyebabkan para pelayar takut untuk melalui perairan Kukup.

Kapal dagangan, tongkang dan perahu nelayan yang diserang akan ditelungkupkan oleh lanun. Dikatakan daripada perkataan ‘telungkup’ itulah pulau Kukup mendapat nama.

Pulau Kukup dibuka kepada pelancong sejak tahun 2003. Ia menjadi salah satu tarikan pelancongan daerah ini, terutama mereka yang gemarkan alam semula jadi.

Hendak ke Pulau Kukup mudah saja. Anda boleh dapatkan perkhidmatan bot dari Pekan Kukup Laut yang hanya mengambil masa 15 minit perjalanan untuk ke pulau tersebut.

Pulau Kukup dibuka untuk pengunjung menikmati alam semula jadi di sini. Foto : Perbadanan Taman Negara Johor.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen