Jais Abdul Karim

RAKYAT Malaysia tidak boleh terus berdiam diri dan berada dalam mod penafian atau in-denial selepas keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 menyaksikan negara jatuh ke tangga 62 dengan markah hanya 48 berbanding kedudukan ke-57 pada 2020.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim menegaskan, semua rakyat turut bertanggungjawab atas punca kejatuhan itu.

Malah, Jais menyifatkan kedudukan terbaharu daripada 180 negara itu bukanlah satu perkara yang harus dibanggakan.

Menurut beliau, kerajaan mesti melakukan penambahbaikan segera bagi meneutralisasikan persepsi pelabur dan masyarakat dunia terutama hal berkaitan dana parti politik.

Jais turut menyarankan supaya kerajaan menggubal dasar awam yang inovatif untuk membendung pelaku amalan rasuah sekali gus menghentikan jenayah itu daripada terus berleluasa.

Katanya, pembaharuan polisi dan undang-undang yang lebih baik perlu dilaksanakan bagi memastikan individu yang terlibat rasuah tidak akan terus melakukannya.

“Antara punca kejatuhan ini ialah kerana pengkhianatan segelintir penjawat awam yang terus melakukan rasuah.

“Laporan Ketua Audit Negara sering mengulang nasihat atau teguran yang sama dengan kesalahan yang juga hampir sama dilakukan oleh penjawat awam.

“Anggota pentadbiran yang bersih diminta sentiasa tampil ke hadapan melaporkan kes melibatkan rakan sejawat mereka. Ketua jabatan atau unit yang terpalit rasuah mesti diberi hukuman berat, konsep kepemimpinan melalui teladan mesti diterapkan semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: Agenda politik bunuh karakter Azam Baki – MCW

Buat pertama kali sejak 2012, Malaysia dikelompokkan antara dua pertiga negara dengan markah di bawah 50 daripada 100 iaitu hanya 48 dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dunia bagi tahun 2021.

Keputusan itu menyaksikan kedudukan Malaysia jatuh ke tangga 62 berbanding 57 pada 2020.

Mengulas lanjut, Jais turut menyifatkan sistem pencegahan rasuah di Malaysia masih jauh ketinggalan walaupun mempunyai Pelan Antirasuah Nasional (NACP) Malaysia adalah antara pelan terbaik di dunia.

Beliau berkata, kita terlalu banyak bercakap tanpa membuat tindakan dan pelaksanaan yang perlu.

“Segala sistem dan alatan yang mampu mencegah rasuah yang telah terbukti berkesan di Barat dan selari dengan ajaran agama, ia perlu diperkenalkan serta dilaksanakan segera tanpa alasan.

“MCW yakin dan percaya bahawa persepsi ini akan dapat dibaiki dan diubah dengan iltizam tinggi serta tepat terutama daripada pihak kerajaan serta kerjasama semua pemegang taruh,” jelas beliau.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram