Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad GAMBAR: Abd Razak Aid

KEADAAN kesihatan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) dilaporkan menunjukkan peningkatan, hari ini.

Perkara itu dimaklumkan anaknya, Datin Paduka Marina dalam kenyataan.

Menurut Marina, selera makan Dr. Mahathir juga bertambah baik dan beliau sempat berseloroh dengan ahli keluarga yang berada di sisinya.

Marina berkata, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu juga diberitahu mengenai ucapan selamat yang disampaikan ramai pihak termasuk pemimpin negara asing dan orang ramai.

“Keadaan kesihatan Dr. Mahathir menunjukkan peningkatan hari ini.

“Beliau mempunyai selera makan yang bertambah baik dan sempat berseloroh dengan ahli keluarga yang berada di sisinya di IJN.

“Dr. Mahathir serta keluarga berasa terharu dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan agar beliau segera pulih.

“Beliau juga memohon orang ramai tidak terlalu bimbang mengenai keadaan kesihatannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Marina memaklumkan, Ahli Parlimen Langkawi itu akan terus menerima rawatan di IJN di bawah pengawasan pakar tempatan.

“Buat masa ini, pihak IJN masih tidak membenarkan pelawat selain daripada keluarga terdekat,” jelas beliau.

Ahad lalu, Marina dalam kenyataan memaklumkan Dr. Mahathir masih dirawat di IJN dan berharap orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan sumber-sumber tidak sahih.

Sebelum itu, sekeping gambar Dr. Mahathir kelihatan sihat bersama individu dipercayai kakitangan IJN tersebar dalam media sosial.

Gambar berkenaan dipercayai diambil sebelum Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Januari lalu.

Bagaimanapun, terdapat dakwaan bahawa gambar berkenaan diambil semasa Dr. Mahathir menerima dos penggalak pada bulan November lalu.

Berita palsu mengenai kematian negarawan tersebut juga telah tersebar dalam media sosial.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram