ISMAIL SABRI YAAKOB

MALAYSIA dengan tegas menyatakan beberapa pendirian berhubung isu Myanmar ketika sidang video di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Sen hari ini.

Ini termasuk soal Kemuafakatan Lima Perkara (5PC) yang mesti dipatuhi – kata Ismail Sabri dalam sidang video itu yang diadakan susulan permintaan daripada pihak Kemboja.

Kemboja kini mengambil alih Pengerusi ASEAN 2022, namun Hun Sen berdepan beberapa kritikan dari ASEAN sendiri susulan pertemuannya dengan pemimpin junta Myanmar ketika melawat negara tersebut awal bulan ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, Perdana Menteri mengucap terima kasih kepada Hun Sen kerana berkongsi maklumat berhubung perkembangan terkini di Myanmar.

Malaysia pada masa sama menekankan perkara-perkara berikut:

i. Keperluan meredakan keadaan di Myanmar dan menghentikan keganasan terhadap orang awam;

ii. Mengadakan dialog politik di antara semua pihak yang berkaitan demi kepentingan rakyat Myanmar, dan menyeru pembebasan segera kesemua tahanan politik tanpa sebarang syarat, termasuk Aung San Suu Kyi dan U Win Myint; dan

iii. Meneruskan bantuan kemanusiaan melalui ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on disaster management (AHA Centre) dengan sokongan Negara-negara Anggota ASEAN dan rakan-rakan luar ASEAN.

“Perdana Menteri turut menyatakan sekali lagi pendirian Malaysia agar Utusan Khas Pengerusi ASEAN mengenai Myanmar diberikan akses kepada semua pihak yang berkenaan dalam usaha mencari penyelesaian secara aman demi kepentingan rakyat Myanmar.

“Dalam hal ini, Malaysia menyokong perlantikan Prak Sokhonn sebagai Utusan Khas yang baharu. Perdana Menteri turut menekankan bahawa Malaysia kekal komited dan menyokong usaha ASEAN ke arah menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar,” kata kenyataan itu.

Hun Sen ketika mengadakan sidang video bersama Ismail Sabri Yaakob hari ini./ Gambar FB Hun Sen.

Menurut Wisma Putra, berhubung keputusan ASEAN untuk menjemput wakil bukan politik dari Myanmar untuk menyertai mesyuarat peringkat tertinggi ASEAN, Malaysia menegaskan bahawa pendirian Malaysia kekal tidak berubah selagi tiada perkembangan nyata dan pelaksanaan sepenuhnya Kemuafakatan Lima Perkara atau 5PC.

“Perdana Menteri juga menyuarakan pandangan bahawa cadangan langkah-langkah untuk menangani situasi di Myanmar perlu dibincang dan diperhalusi dengan lebih lanjut di peringkat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN dan Pegawai-pegawai Kanan ASEAN.

“Malaysia bersetuju dengan cadangan Pengerusi ASEAN supaya Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN diadakan segera.

“Perdana Menteri turut menyatakan sokongan Malaysia terhadap Kepengerusian Kemboja dan inisiatif-inisiatif untuk terus membangunkan Kominiti ASEAN dan memajukan ASEAN di peringkat serantau dan antarabangsa,” jelas Kementerian Luar.

Dalam pada itu, kata Wisma Putra, semasa panggilan telefon tersebut, Perdana Menteri telah mengucapkan tahniah kepada Kemboja setelah mengambil alih Kepengerusian ASEAN 2022.

Baca: Suu Kyi ditahan kerana guna walkie talkie

Darurat setahun, Malaysia pantau situasi di Myanmar

Untuk rekod, Myanmar kini dalam pemerintahan junta selepas tentera mengambil alih kuasa dari kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya Februari lalu.

Malah, keadaan di negara itu masih dalam pergolakan apabila pimpinan politik diburu dan penentang junta dipenjara.

Ini menimbulkan kecaman berterusan masyarakat antarabangsa apabila demokrasi masih tidak dipulihkan di negara itu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram