SEBUAH startup yang membantu usahawan berniaga menerusi aplikasi WhatsApp, Yezza menjadi syarikat teknologi terbaharu negara diterima masuk ke penyumbang pembiayaan terkemuka dunia, Y Combinator.

Perkara itu dikongsikan Ketua Pegawai Eksekutif Yezza, Ammar Roslizar menerusi hantaran di Facebook beliau.

Menurut Ammar, Yezza pada mulanya ditubuhkan hanya untuk memastikan kelangsungan hidup semasa di awal pandemik melanda negara.

Kata beliau, ia selepas syarikat pelancongan miliknya, ARBA Travel yang dibina selama enam tahun mula mengalami penurunan prestasi ekoran COVID-19.

“Pelbagai usaha dibuat untuk menyelamatkan ramai orang yang berteduh di bawah bumbung ARBA Travel, antara usaha tersebut ialah Yezza – sebuah startup teknologi unutk bantu berniaga menggunakan WhatsApp.

“Ideanya mudah sahaja. Niat pun sekadar mahu pastikan ada duit untuk makan di kala pandemik.

“Tuhan memang Maha Pemberi Rezeki. Kini, Yezza diterima masuk ke dalam Y Combinator, sebuah ‘sekolah’ startup nombor satu di Silicon Valley,” katanya dalam hantaran tersebut.

Ammar Roslizar (tengah) turut berkongsi gambar semasa sesi temuduga dengan Y Combinator yang dijalankan pada pukul 5 pagi. GAMBAR: Facebook Ammar Roslizar

Y Combinator merupakan syarikat pendanaan startup yang telah melahirkan banyak syarikat terbaik dunia termasuk Airbnb, Stripe, Dropbox, Twitch, Reddit dan banyak lagi.

Menerusi perkongsian itu, Ammar turut memaklumkan, tidak semua permohonan masuk ke Y Combinator diterima.

Katanya, daripada 17,500 startup dari seluruh dunia, hanya 2.3 peratus sahaja layak diterima masuk.

Ammar memaklumkan, Yezza telah diterima masuk sedikit awal berbanding syarikat lain dalam kohort yang sama.

Baca artikel berkaitan: MSC Malaysia akan dipertingkat, kini dikenali sebagai Malaysia Digital – Annuar

“Sesiapa sahaja yang mahu masuk ke Y Combinator perlu jadi yang terbaik daripada terbaik kerana anda harus bersaing dengan startup dari seluruh dunia.

“Ini termasuk ‘geng-geng’ yang memang dari Silicon Valley dan bekas-bekas pekerja Facebook, Google dan sebagainya.

“Yezza diterima masuk ke Y Combinator pada awal Oktober 2021 manakala secara rasminya pada 10 Januari lalu,” katanya.

Ammar turut berkongsi sesi temuduga bersama Y Combinator yang dilakukan secara dalam talian.

Menurut beliau, sesi temuduga itu hanya berlangsung selama 10 minit sahaja.

“Yezza ditemuduga pada pukul 5 pagi tetapi gementar daripada 5 petang. Semua orang tahu temuduga Y Combinator memang gila. Soalan ditanya bertubi-tubi tak sempat bernafas.

“Semua soalan harus dijawab dalam dua ke tiga ayat sahaja. Alhamdulillah, saya rasa kami buat terbaik. Pada minit kelapan, penemuduga sudah tersenyum dan tiada soalan lanjutan yang perlu ditanya lagi,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, Ammar mengakui kemasukan ke Y Combinator ibarat ‘tiket emas’ ke dunia teknologi peringkat global, namun padanya ia bukan sejenis kejayaan.

Bagi beliau, kejayaan sebenar adalah apabila dapat mencipta produk bertaraf dunia untuk menyelesaikan masalah usahawan.

“Setiap hari, kami berbincang, bergaduh, berselisih faham dan bergembira hanya untuk memastikan usahawan Yezza memperoleh lebih wang dan menjimatkan masa melakukan perniagaan.

“Yezza bermula dengan sekadar mahu membantu mereka yang berniaga menggunakan WhatsApp. Produk Yezza sudah berkembang jauh daripada sekadar itu.

“Setiap minggu kami akan buat dua improvement terhadap produk kami, bayangkan sudah berapa banyak improvement yang kami buat sejak tahun 2020.

“Yezza akan menjadi syarikat ‘unicorn’, Insya-Allah dan untuk melakukan itu, kami hanya akan bekerja dengan bakat terbaik. Tak kisah kau orang kakitangan atau usahawan, perjalanan jadi ‘unicorn’ ini susah tetapi sekali seumur hidup,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram