elton john

GARA-gara positif Covid-19, penyanyi popular, Elton John terpaksa membatalkan konsert jelajah yang dijadualkan berlangsung hari ini dan esok di Dallas, Texas.

Penyanyi berusia 74 tahun itu hanya mengalami gejala ringan dan difahamkan konsert tersebut akan ditangguhkan sehingga kondisi kesihatannya kembali sihat seperti sedia kala.

“Dukacitanya siri jelajah Farewell Yellow Brick Road yang dijadualkan pada 25 Januari (26 Januari waktu Malaysia) dan 26 Januari (27 Januari waktu Malaysia) perlu ditunda kerana Elton positif Covid-19.

“Mujur dia (Elton) sudah divaksin dan menerima dos penggalak. Dia hanya mengalami simptom ringan. Peminat boleh menyimpan tiket konsert kerana tarikh baharu persembahan akan diumumkan tidak lama lagi,” kata satu kenyataan yang dikeluarkan.

Sebelum ini, selepas dua tahun tidak membuat persembahan terbuka disebabkan penularan wabak Covid-19, pada awal tahun ini Elton memulakan siri jelajah pada 20 Januari lalu.

Sepanjang tempoh berkurung, Elton menggunakan masa tersebut dengan menerbitkan album berjudul The Lockdown Sessions.

Album tersebut merupakan hasil kolaboratif bersama penyanyi-penyanyi lain.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album itu termasuk Cold Heart hasil duet bersama bintang pop sensasi, Dua Lipa. Lagu itu cukup fenomena dan digilai pendengar di pelbagai platform termasuk TikTok.