Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin. GAMBAR: Abd Razak Aid

“SEKARANG baru nak cakap? Boleh jadi dia tahu tak jadi calon agaknya kot,” kata Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung pengumuman keluar parti oleh Ketua Bahagian Bersatu Tebrau, Datuk Mazlan Bujang hari ini.

Tegas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, langkah Mazlan juga tidak akan menjejaskan apa-apa termasuk persiapan parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak lama lagi.

Katanya, ini termasuk kenyataan Mazlan pada sidang media itu yang menurutnya, ‘tidak penting pun’.

“Mana maruah dia? Saya lagi lama dalam politik daripada dia. Mengapa dia bersikap begitu?

“Baru sekarang hendak cakap soal itu ini. Boleh jadi dia sudah tahu tidak akan menjadi calon mungkin,” kata Presiden Bersatu itu secara sinis kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PN Johor di Pejabat Bersatu Bahagian Pagoh hari ini.

Muhyiddin pada masa sama membangkitkan apakah Mazlan berbuat demikian kerana mahu masuk UMNO.

“Dia fikir UMNO akan lantik (calonkan) dia? Wallahualam. Pasal adik dia daripada situ juga kan (UMNO).

“Saya orang politik lama di Johor, kenal mana satu.

“Dia nak keluar dan bawa dua orang (ADUN)? Kenapa tidak 200,000 orang?,” kata Muhyiddin.

Baca: Sah! Mazlan Bujang keluar Bersatu

Keputusan Muhyiddin tak beri kesan negatif, tambah kekuatan PN

Presiden Bersatu itu juga menjelaskan yang beliau tidak berniat memerli mana-mana individu.

“Tak apalah, apa dia buat itu tak penting lagi.

“Bagi saya apa yang dia buat sudah tidak penting kerana kalau dia cakap awal-awal sebelum Dewan Undangan Negeri (DUN) terbubar, itu cerita lain.

“Sekarang ini sudah tidak jadi apa dan hanya tinggal sejarah sahaja lah,” jelasnya.

Mengulas lanjut ujar Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Mazlan tidak seharusnya mengambil langkah berkenaan memandangkan bekas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor itu juga memegang jawatan kanan dalam kerajaan negeri.

“Kita ini bukan pendendam tetapi wajarnya beliau yang duduk sebagai Exco dalam kerajaan kononnya atas nama Bersatu memikirkan di manakah pendirian dia?.

“Dia perlu memikirkan apakah langkah diambil itu tidak dianggap sebagai musuh dalam selimut,” tegasnya.

Mazlan merupakan penyandang kerusi DUN Puteri Wangsa.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram