PELAWAK dan pengacara Pian Cecupak,52, dikhabarkan telah menghembuskan nafas terakhirnya akibat serangan jantung selepas ditemui terbaring kaku di kediaman ibunya yang terletak di Flat Sentul Murni, Kuala Lumpur, pada pukul 8 malam, semalam (Rabu).

Jenazah Allahyarham Pian atau nama lengkapnya Mohd Rafik Abdul Rahman selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Raudhatul Sakinah Taman Batu Muda, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 11.10 pagi tadi.

Berita pemergian pelawak yang popular sekitar 1990-an itu turut disahkan oleh adik perempuan, Hasenah Abdul Rahman yang meluahkan rasa syukur arwah Pian pergi dalam keadaan baik.

“Dia pergi dalam keadaan bersih dan menghadap kiblat. Kedudukan dia cantik, dia duduk (terbaring) menghadap kiblat dalam keadaan tangan dia dan siap macam ni (qiam). Kaki dia dah julur.

“Saya tak terkilan… tak lah terhantuk ke apa. Dia pergi dalam keadaan bersih sangat,” ujarnya menerusi laporan mStar.

Hasenah turut berkongsi bahawa arwah Pian menghidapi masalah jantung sekitar 2018 dan hanya bergantung kepada ubat-ubatan.

Malah, Hasenah turut memaklumkan arwah abangnya begitu teruja dan bersemangat untuk menyambut ulang tahun kelahiran ibu mereka yang ke-74 pada 18 Januari lalu.

“Arwah beria nak buat majlis hari ulang tahun kelahiran mak. Sebelum ini tak pernah sambut pun, ini la pertama kali kami buat.

“Dia nak sangat adik-beradik, anak, cucu semua berkumpul masa itu. Tapi pada hari sambutan itu, keriangan dia dah tiada.

“Dia hanya diam… ajak bergambar pun dah tak ceria. Dia hanya nampak ‘cool’, dah tak nampak lawak dia,” ujarnya.

Terdahulu, Allahyarham Pian pernah dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 17 Oktober 2018 akibat sesak nafas.

Doktor mengesahkan bahawa Pian mengalami serangan jantung dan ditempatkan di Wad Pemulihan Jantung (CRW).

Oleh sebab itu, Pian perlu melakukan rawatan angiogram dengan kos perubatan yang mencecah sehingga puluhan ribuan ringgit.

Untuk info, bakat Pian mula dikenali ramai menerusi program realiti popular, Sinaran Paspport Kegemilangan TV3 sekitar 1990-an sebelum menyertai kumpulan Cecupak.

SUMBER : mStar