PERNAH tak anda bermimpi seseorang meminta hak miliknya dikembalikan semula? Biasa kita dengar mimpi sebegitu, bukan?

Ada satu mimpi yang sampai sekarang masih saya ingat kejadiannya. Ia tentang satu kejadian yang berlaku lebih 18 tahun lalu, sewaktu saya bertugas sebagai seorang pemandu ambulan di sebuah hospital di utara tanahair.

Masih saya ingat malam itu, seperti biasa saya bertugas di pejabat, kami mendapat panggilan kecemasan mengatakan satu kemalangan telah berlaku di lebuh raya PLUS ke arah utara tanah air. Ketika mendapat panggilan itu, jam sudah lebih pukul 12.30 malam.

Seperti biasa, saya bersama rakan setugas pantas terus memandu ke tempat kejadian. Setibanya di tempat kemalangan, ada sebuah trailer terbalik di tengah jalan, manakala sebuah lori lagi remuk tersadai di bahu jalan.

Bau petrol kuat menusuk hidung. Keadaan di situ juga kelam kabut, juga dikerumuni oleh orang ramai. Tanpa berlengah, kami terus mengeluarkan stretcher dan menolak menghampiri trailer yang terbalik.

Pada mulanya saya sangka hanyalah kemalangan biasa sahaja. Rupa-rupanya ia kemalangan maut yang dahsyat. Berpandukan lampu van dan lori, saya dapat lihat tulang dan daging bersepah di merata tempat kemalangan.

Permukaan jalan merah dibasahi darah. Bau hanyir darah pula agak kuat. Dalam waktu yang sama, para anggota petugas lebuh raya juga sibuk mengutip tulang-tulang berserta cebisan daging mangsa kemalangan.

Untuk mempercepatkan operasi menyelamat, saya turut membantu setakat termampu. Saya kutip sisa tulang dan daging yang bertaburan di sana sini dan kumpulkan pada suatu tempat.

Sukar hendak saya gambarkan keadaan mayat mangsa. Yang pasti memang mengerikan. Salah seorang daripada mayat mangsa itu hancur sehingga sukar hendak mengecam wajahnya.

Kami para petugas juga menghadapi masalah untuk mengutip cebisan daging dan tulang temulang itu disebabkan serpihannya terlalu kecil, berkecai dan bertaburan di atas jalan.

Setelah semuanya selesai, saya terus membawa mayat ke hospital di mana saya bertugas. Mayat itu kemudian dihantar ke bilik mayat untuk proses pengurusan jenazah.

Memang ngeri rasanya apabila saya terkenangkan mayat itu. Baru beberapa tahun bertugas, kiranya itulah kali pertama saya menyaksikan keadaan mayat berkecai sebegitu.

Selesai tugas, awal pagi itu saya pulang ke rumah. Kerana terlalu letih, letak saja kepala atas bantal saya terus terlelap. Ketika itulah saya bermimpi sesuatu yang aneh.

Dalam mimpi itu, saya bertemu seorang lelaki yang tidak saya kenali. Lelaki itu merenung saya tajam. Riak wajahnya seperti sedang marah.

Kemudian, lelaki itu datang menghampiri saya dan menjerkah, “Kau ambil barang aku! Pulangkan balik hak aku!”

Terkejut dengan jerkahannya itu, saya terjaga daripada tidur. Saya pelik, siapa lelaki itu? Saya memang tidak mengenalinya. Kemudian, apa barangnya yang telah saya ambil? Persoalan itu membuat saya bingung.

Keesokannya, dari pagi fikiran saya asyik terkenangkan lelaki dalam mimpi tersebut. Saya cuba untuk tidak memikirkan mimpi itu dan menganggapnya mainan tidur. Tapi, wajah lelaki itu asyik bermain dalam fikiran. Entah kenapa saya merasakan apa yang dikatakan lelaki itu mungkin satu petanda kepada saya.  

Ketika hendak bersiap ke pejabat, saya mencari uniform yang saya pakai semalam. Saya belek setiap inci pakaian saya itu, tak ada suatu barang pun yang dijumpai.

Mimpi tentang lelaki misteri itu tetap menghantui sampai saya rasa tidak puas hati selagi tidak dapat mencari apa ‘barang’ yang dimaksudkannya itu.

Saya mencari pula ke dalam raga motosikal yang saya gunakan pergi bekerja. Pun tiada sebarang benda di dalamnya. Saya belek-belek di bawah kusyen motosikal, juga tidak ada apa-apa. Saya semakin buntu.

Sambil berfikir tentang mimpi itu, saya duduk di kerusi untuk memakai kasut. Sewaktu mengangkat kasut, saya ternampak seperti ada benda yang melekat pada tapak kasut.

Apabila saya terbalikkan kasut dan belek betul-betul, terkejut saya dibuatnya bila melihat ada serpihan tulang mayat melekat di tapak kasut. Itulah kasut yang saya pakai semasa bertugas semalam. Rupa­-rupanya saya telah terbawa balik serpihan tulang mayat mangsa kemalangan semalam yang melekat pada tapak kasut saya.

Ketika itu juga seakan saya mendapat jawapan terhadap mimpi aneh malam tadi. Lelaki yang saya lihat dalam mimpi semalam adalah lelaki yang terlibat dalam kemalangan itu. Mungkin ‘dia’ marah atau mengingatkan saya agar mengembalikan serpihan tulangnya itu.

Saya ambil serpihan tulang itu dan bungkus dengan kain. Saya pergi ke hospital. Sebelum mula bertugas, saya pergi ke bilik mayat terlebih dahulu. Terkejut petugas bilik mayat itu bila saya serahkan serpihan tulang itu. Saya beritahu ia serpihan mayat dari mangsa kemalangan yang hancur malam tadi.

Setelah menyerahkan serpihan tulang itu, barulah hati saya berasa lega. Selepas itu, kelibat lelaki itu tidak lagi muncul mengganggu tidur saya.

Selepas kejadian itu, saya jadi lebih berhati-hati apabila melakukan sebarang operasi menyelamat mangsa kemalangan terutama jika tubuh badan mangsa berkecai.

Kalau ikutkan logik akal, memang sukar nak percaya apa yang berlaku. Tapi, adakalanya tidak semua perkara mampu diterangkan secara fakta, bukan?

**Diceritakan oleh : Khairuz Azarai, seorang pemandu ambulans.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen