Islam mengajar ibu bapa agar mendidik anak-anak mengerjakan solat pada usia tujuh tahun.

Sepertimana sabda Rasulullah, “Perintahkanlah anak kamu sembahyang semasa umur mereka 7 tahun dan pukullah mereka semasa umur 10 tahun serta asingkanlah tempat tidur mereka”. (H.R Abu Daud, Al-Hakim & Tirmizi).

Kewajipan solat bermula sejak baligh dan sesuai dengan tuntutan Nabi Muhammad SAW melalui hadis di atas, anak-anak telah sepatutnya diperintahkan solat seawal usia 7 tahun lagi.

“Patutlah Baginda Nabi S.A.W menyuruh ibu bapa untuk mengajarkan anak solat pada umur 7 tahun.

Saya perasan. Bila Salahuddin sudah masuk umur 9 tahun ni, rupanya ada satu perubahan dari sudut tingkah laku dan perasaan.

Bila anak masuk umur 6 tahun, kita akan mula rasa dia sudah tidak lagi ‘berapa’ comel. Kita mula merasakan perangainya kadang kala sedikit ‘annoying’.

Bukan bermaksud kasih sayang kita sebagai ibu bapa berkurang, tidak. Cuma kerana anak-anak sudah semakin besar dan mula ‘banyak perangai’.

Tapi bila masuk umur 9 tahun apa yang saya perasan, kali ini Salahuddin pula sudah pandai merasakan saya pula yang sedikit ‘annoying’.

Dia sudah pandai tarik muka bila saya minta dia buat sesuatu. Sebelum ni tarik muka juga, cuma kali ini tarik mukanya disertai dengan rasa tak puas hati.

Rasa tak puas hati anak 9 tahun ini lain macam. Ia disertai dengan ilmu dan perasaan.

Beza dengan anak umur 7 tahun ke bawah.

Patutlah kita diperintahkan untuk bermula ajarkan anak solat dari umur 7 tahun. Umur 7-8 tahun anak sudah boleh berfikir, tetapi masih boleh menyerap apa yang kita ajarkan dengan mudah.

Ini apa yang saya perhatikan

1. Umur 6 tahun ke bawah, anak-anak ibarat span. Kalaupun membantah, itu hanya bantahan biasa sikap dan sifat seorang kanak-kanak.

2. Umur 7-8 tahun, anak sudah boleh memahami banyak perkara. Mereka sudah boleh berfikir baik buruk dan bersedia menerima perkara berat yang kita ajarkan.

Solat perlu lebih serius dididik pada umur ini.

3. Umur 9 tahun, anak sudah mula ada perspektif mereka sendiri. Bantahan bukan lagi sekadar bantahan keanak-anakan. Tetapi kerana mahu kebebasan memilih kehidupan.

Pada umur ini, sesuai masanya diselesaikan perintah solat. Sebelum masuk usia 10 tahun.

4. Usia 10 tahun pasti lebih mencabar. Pengalaman dengan murid 10 tahun di sekolah, apa yang saya lihat mereka lebih matang dan sudah mudah terpengaruh dengan budaya semasa juga rakan-rakan sebaya.

Sebab itu anak sudah boleh dipukul (pukulan kasih sayang) jika tidak mahu solat diusia 10 tahun.

Begitu teliti sekali Baginda Rasulullah S.A.W memahami psikologi anak-anak. Sungguh siapalah yang lebih memahami fitrah manusia kalau bukan baginda S.A.W.

Dan benarlah usia 6 tahun ke bawah, anak-anak seperti span. Tanamkanlah tauhid secara bersungguh pada usia ini. InsyaAllah, jika tauhid sudah ditanam, tauhidlah yang akan menjadi perspektif anak bermula usia 9 tahun.

Semoga anak-anak kita menjadi anak-anak bertaqwa dan faham Al Quran.

Nota Parenting

Nazifatunnisa Salim

#JannahProject

t.me/NazifatunnisaSalim.”

Sumber : Nazifatunnisa Salim