Ismail Sabri Yaakob pada majlis pelancaran Yayasan Dana Amanah SDG Malaysia (MySDG) di Putrajaya hari ini./ Gambar FB PM

MATLAMAT Pembangunan Mampan (SDG) adalah paksi yang penting dalam semua perancangan dan dasar bagi menangani isu pembangunan tidak lestari sehingga merosakkan alam sekitar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berucap pada majlis pelancaran Yayasan Dana Amanah SDG Malaysia (MySDG) di Putrajaya hari ini, Ismail Sabri berkata ia juga bagi mengelak tragedi bencana alam di negara ini seperti banjir yang melanda baru-baru ini berulang pada masa hadapan.

“Sekiranya kita mengabaikan keseimbangan ini, padah yang terpaksa ditanggung sangat tinggi sepertimana yang kita lalui baru-baru ini, ataupun mungkin lebih teruk lagi. Ia melangkaui apa yang boleh diukur dari segi kewangan,” katanya.

Beliau berkata banjir itu dapat dijadikan iktibar oleh semua pihak supaya dapat mengimbangi antara pembangunan dan kepentingan melindungi serta memulihara alam sekitar.

Berlandaskan kepada SDG, Ismail Sabri berkata pembangunan Malaysia akan bertambah baik dan menjadi sebuah negara yang lebih teguh, berdaya tahan, aman dan makmur.

“SDG akan terus diintegrasikan sepenuhnya dalam mekanisme dan dasar perancangan serta pembangunan negara,” katanya bahawa SDG dan petunjuk prestasi negara telah dilakarkan sepenuhnya dalam pelan pembangunan lima tahun negara bermula dengan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Ismail Sabri berkata SDG bukan suatu perkara baharu di negara ini kerana ia telah diterima sejak 2015 dan akan terus dijajarkan serta diintegrasikan dengan pelbagai proses serta dasar yang telah dilaksanakan sejak beberapa dekad lalu.

Pada masa yang sama, katanya kerajaan akan terus menekankan dasar pertumbuhan inklusif yang merupakan teras kepada matlamat pembangunan, perpaduan dan kesejahteraan dalam konsep Keluarga Malaysia.

Sebagai satu daripada 193 negara yang menyertai Agenda 2030 sejak 2015, beliau berkata Malaysia telah mengemukakan dua Laporan ‘Voluntary National Review’ kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Baca: Krisis kesihatan, bencana alam tuntut ketersediaan data lebih komprehensif – PM

Menurutnya, dalam laporan terkini mengenai pencapaian SDG yang dibentangkan pada Ogos tahun lepas, Malaysia telah mencapai kemajuan yang signifikan dalam pelbagai aspek pembangunan SDG namun masih terdapat ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan terutamanya melibatkan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan golongan rentan serta miskin tegar.

Mengenai pelaksanaan SDG di negara ini, Ismail Sabri berkata usaha tersebut tidak akan tercapai tanpa sokongan semua pihak termasuk sektor perniagaan, institusi kewangan dan rakyat, yang perlu bersama menyumbang dan turut serta bagi melengkapi usaha kerajaan dalam mencapai matlamat SDG menjelang 2030.

Pada majlis itu, Yayasan MySDG yang dilancarkan berperanan mengawal selia Dana Amanah MySDG, yang merupakan kerjasama antara Malaysia dan PBB di Malaysia.

Dana Amanah MySDG akan menjadi platform bagi mengumpulkan sumbangan untuk menyokong Agenda Pembangunan Mampan 2030 (Agenda 2030) selain membasmi semua kategori kemiskinan, ketaksamaan, mewujudkan keamanan, menangani masalah alam sekitar dan memastikan tiada sesiapa dalam Keluarga Malaysia tercicir daripada arus pembangunan.

Ismail Sabri turut mengumumkan potongan cukai sehingga 10 peratus daripada jumlah pendapatan agregat bagi sektor swasta, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan masyarakat sivil (CSO) atau individu dari dalam dan luar negara yang menyumbang kepada Dana Amanah MySDG.

“Saya harap insentif ini akan mendorong lebih ramai menyumbang kepada inisiatif yang bersejarah ini,” katanya.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram