syarat menjadi muslim
Sekadar gambar hiasan

Kalimah Tauhid ini mempunyai fungsi yang penting. Kalimah Tauhid adalah pembeza antara keimanan dan kekufuran. Sesiapa sahaja yang menyebutnya dengan syarat-syaratnya maka dia adalah seorang Muslim.

Sesiapa yang menafikannya dan menafikan syarat-syaratnya maka dia adalah seorang kafir. Al-Shaikh Hafiz al-Hakami rahimahullah dalam kitabnya A’lam al-Sunnah al-Mansyurah telah meletakkan tujuh syarat bagi kesahihan Kalimah Tauhid iaitu:

Pertama, mempunyai ilmu tentang ertinya sama ada penetapan mahupun penolakan.

Kedua, hati yang yakin dengannya.

Ketiga, patuh/taat kepadanya zahir dan batin.

Keempat, menerimanya dan tidak menolak tuntutan dan kemestiannya.

Kelima, niat yang ikhlas/suci.

Keenam, kejujuran/membenarkannya dengan hati dan bukannya dengan lidah sahaja. Ketujuh, cinta kepadanya dan cinta kepada orang yang mendukungnya serta membantu dan memusuhi berdasarkan syahadah ini.

Tujuh syarat ini adalah huraian bagi satu athar, di mana Wahb bin Munabbih rahimahullah telah ditanya,

“Bukankah Laa ilaaha illallah merupakan kunci Syurga?” Beliau menjawab, “Ya, akan tetapi kunci itu perlu ada gigi. Jika anda datang dengan kunci yang mempunyai gigi yang betul maka pintu syurga akan dibuka untukmu. Jika tidak, ianya tidak akan dibuka.”

(Dinukil oleh al-Imam al-Bukhari dalam Kitab al-Janaiz (Urusan Jenazah), selepas menyebut: Bab berkenaan apa yang terdapat dalam urusan jenazah dan berkenaan siapa yang perkataan terakhirnya ialah ‘Tiada tuhan yang berhak disembah selain Allah’).

Orang yang dibenarkan masuk Syurga ialah orang yang beriman sahaja. Keimanan itu perlulah dizahirkan melalui Kalimah Tauhid, Laa ilaaha illallaah. Orang yang tidak menyebut Kalimah Tauhid dengan syarat-syaratnya adalah tidak beriman dan tidak layak masuk Syurga kerana dia tidak mempunyai kunci Syurga.

Jangan Sampai Murtad

Sebagai umat Islam, kita harus sentiasa berwaspada agar tidak melakukan perkara yang boleh membatalkan kesaksian dan Kalimah Tauhid kita. Orang yang membatalkan Kalimah Tauhidnya dinamakan sebagai murtad.

Murtad berasal daripada perkataan Riddah yang dijelaskan di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah sebagai, kufurnya seorang Muslim itu dengan kata-kata yang jelas kekufurannya atau lafaz yang membawa erti kufur atau perbuatan yang membawa erti kufur.

Perkara-perkara yang membatalkan Kalimah Tauhid dan menjadikan seseorang itu murtad terbahagi kepada empat;

Pertama: Riddah dalam kepercayaan.

Kedua: Riddah dalam percakapan.

Ketiga: Riddah dalam perbuatan.

Keempat: Riddah dalam meninggalkan sesuatu.

Riddah dalam kepercayaan merangkumi syirik terhadap Allah, menolak Allah, menafikan salah satu sifat Allah yang sabit, mempercayai Allah ada anak, menolak al-Quran sama ada secara keseluruhan atau sebahagian, mengatakan Nabi s.a.w. berdusta, menghalalkan perkara yang haram secara ijmak, mengingkari perkara yang diketahui secara pasti dalam agama, mencaci Allah, mencaci Rasulullah s.a.w., mencaci salah seorang nabi a.s. yang sabit dan mencaci salah seorang isteri Rasulullah s.a.w..

Riddah dalam percakapan merangkumi, menuduh orang Islam sebagai kafir menurut salah satu pandangan ulama.

Riddah dalam perbuatan merangkumi, membuang al-Quran atau sebahagiannya di tempat kotor, sujud kepada patung, sujud kepada matahari, sujud kepada bulan dan membuat sesuatu yang berupa istihza’ (mempersendakan) agama Islam.

Riddah dalam meninggalkan sesuatu merangkumi, meninggalkan solat, zakat, puasa dan haji  kerana menolak kefarduannya.

Ringkasan tentang perkara yang membatalkan Kalimah Tauhid ini yang diambil daripada kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah sewajarnya menjadikan kita umat Islam yang komited dalam merealisasikan tuntutan Kalimah Tauhid dan amat berwaspada daripada terjerumus ke dalam bahana riddah atau murtad. Wallahu a’lam

_____________________________

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyenFacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare