ADA sebuah rumah yang dibina pada tahun 1736, terletak di kawasan yang dikenali sebagai The Old Arnold Estate, sebuah kawasan ladang seluas 200 hektar. Ladang ini terletak di Harrisville dalam daerah Rhode Island di Amerika Syarikat.

Pada tahun 1970, pasangan suami isteri, Roger dan Carolyn Perron telah membeli rumah itu dan berpindah ke rumah ladang itu bersama lima anak perempuan mereka bernama Andrea, Nancy, Christine, Cindy dan April.

Sebelum itu, rumah yang mempunyai 14 buah bilik itu sudah agak lama terbiar tanpa penghuni. Pada hari pertama mereka sampai di situ, anjing peliharaan mereka asyik menyalak dan enggan masuk ke dalam rumah.

Keesokan hari, Carolyn mendapati tubuhnya lebam-lebam setelah bangun daripada tidur. Tambah mengejutkan, anjing mereka ditemui mati di luar rumah.

Sejak itu, satu persatu perkara aneh mula berlaku. Semakin lama mereka tinggal di situ, semakin banyak entiti memunculkan diri. Antaranya bayangan lelaki tua, budak lelaki, termasuk bayangan wanita yang selalu menyapu di rumah tersebut. Apabila cuba dihampiri, kelibat itu akan hilang bagaikan kabus.

Pasangan Perron bersama lima anak mereka.
Rumah ladang yang dibeli pasangan Perron.

Mulanya mereka berasa takut, tapi lama kelamaan mereka sekeluarga  sudah mula biasa dan tidak kisah dengan kehadiran ‘mereka’ di dalam rumah itu.

Namun, ketenangan itu tidak lama. Bukan semua entiti itu sukakan keluarga Perron. Kejadian aneh semakin kerap berlaku. Katil beralih daripada posisi asal, telefon melayang-layang di udara, kerusi ditarik tiba-tiba, pintu ditutup dan dihempas sendiri dan banyak lagi kejadian pelik.

Barang-barang dalam rumah sering beralih tempat dengan sendirinya. Kerap juga barang-barang jatuh sendiri hingga pecah berderai.

Kejadian mulai serius apabila anak-anak Perron mula diganggu. Rambut dan kaki mereka sering ditarik semasa tidur. Kadangkala mereka dikejutkan dengan suara jeritan kanak-kanak.

Carolyn sendiri pernah terjaga daripada tidur dan terkejut bila melihat bayangan seorang wanita tua tergantung di biliknya dengan wajah mengerikan.

Semakin lama, gangguan itu mula bertindak kejam, terutama terhadap Carolyn. Dia sering ditampar, dicubit, bahkan dilempar dengan barangan secara tiba-tiba.

Pernah suatu malam ketika suaminya, Roger sedang bertugas di luar daerah, Carolyn tiba-tiba terkunci di ruang bawah tanah rumah. Di waktu lain, bayangan wanita tua itu menyerang salah seorang anaknya.

Carolyn sering menjadi mangsa utama diganggu roh wanita tua itu.
Carolyn bersama lima anaknya.

Rahsia Rumah Terbongkar

Tidak tahan dengan gangguan itu, pasangan suami isteri itu mula menyiasat sejarah rumah tersebut. Rupa-rupanya, rumah yang mereka beli itu banyak terpalit dengan kematian. Ada lapan generasi keluarga yang pernah mendiami rumah tersebut sebelum kehadiran Perron sekeluarga.

Kebanyakan keluarga yang menetap di rumah itu terbabit dengan kematian. Antaranya kes bunuh diri, keracunan, pemerkosaan, pembunuhan, lemas dan mati kesejukan.

Disebabkan itu, dikatakan banyak roh yang terperangkap dalam rumah tersebut. Dan keadaan ini tidak diketahui oleh keluarga Perron sebelum mereka berpindah ke situ.

Rumah ladang yang sudah didiami banyak generasi ini rupa-rupanya menyimpan banyak sejarah kematian.
Pasangan Perron mendapatkan bantuan Ed dan Lorraine untuk mengatasi gangguan di rumah mereka.

Apabila gangguan semakin serius hingga mendatangkan kecederaan, mereka cuba mendapatkan bantuan. Mereka memanggil Ed dan Lorraine Warren, pasangan suami isteri yang terkenal sebagai penyelidik paranormal.

Siasatan  Ed dan Lorraine mendapati jelmaan wanita tua yang sering mengganggu keluarga itu adalah roh jahat bernama Bathsheba Thayer. Roh inilah yang sering mengganggu kejam keluarga Perron hingga merasuk ke dalam tubuh badan Caroyln.

Siapa Bathsheba?

Dia seorang wanita yang lahir di Rhode Island pada tahun 1812. Suaminya seorang petani manakala Bathsheba hanyalah suri rumah. Mempunyai empat orang anak, tiga darinya mati ketika masih kecil. Tinggal di rumah ladang ini pada awal kurun ke-19.

Cerita mulut ke mulut mendakwa, Bathsheba seorang pemuja syaitan. Kononnya, anak-anaknya mati angkara ritual penyembahan syaitan yang dijalankannya. Bathsheba mati pada Mei 1885, empat tahun selepas kematian suaminya. Wanita itu mati kerana sakit tua dan disemadikan di tempat kelahirannya, Rhode Island.

Gambaran roh Bathsheba dalam filem The Conjuring.
Makam Bathsheba di Rhode Island.

Adakah kedatangan Ed dan Lorraine berjaya mengatasi masalah gangguan di rumah keluarga Perron?

Tidak! Bahkan, kedatangan ahli paranormal itu menyebabkan roh Bathsheba marah dan menjadi semakin ganas. Lebih banyak kerosakan dilakukannya, termasuk merasuk tubuh Carolyn sehingga tubuh wanita itu melayang di udara.

Bathsheba lebih banyak memunculkan diri, menunjukkan sosok wajahnya yang pucat dan merekah, seakan sarang lebah yang sudah kering. Pada wajahnya juga ada torehan panjang. Lehernya pula seakan patah, terkulai sebelah.

Melihat keadaan meruncing yang membahayakan bininya, Roger meminta pasangan paranormal itu keluar dan tidak lagi datang ke rumah mereka lagi. Ed dan Lorraine tidak berjaya menghalau roh jahat itu.

Keluarga Perron pula terpaksa terus menduduki rumah tersebut kerana masalah kewangan menyebabkan mereka tidak mampu untuk berpindah. Sepanjang tempoh itu juga, mereka terpaksa menelan segala gangguan dan kerosakan yang disebabkan roh dalam rumah tersebut.

Hanya 10 tahun kemudian, iaitu pada tahun 1980, barulah keluarga Perron berjaya berpindah keluar dari situ.

Berusia ratusan tahun, rumah yang pernah diduduki keluarga Perron ini telah menjadi inspirasi kepada filem The Conjuring.
Andrea turun menulis buku berdasarkan pengalaman keluarganya semasa tinggal di situ.

Andrea Perron, anak pertama keluarga ini turut menghasilkan buku House of Darkness, House of Light yang menceritakan pengalaman seram keluarganya sepanjang tinggal di rumah ladang itu.

Pengalaman seram yang dilalui keluarga Perron kemudian dipindahkan ke layar perak melalui filem The Conjuring yang meletup di pasaran pada tahun 2013.

Filem ini mendapat kerjasama dari Lorraine yang bertindak sebagai konsultan berdasarkan pengalamannya bersama mendiang suaminya semasa berhadapan dengan kes paranormal yang melibatkan keluarga Perron.

Tetapi, pengakhiran kisah dalam filem itu tidak serupa seperti yang sebenarnya. Tiada istilah ‘happy ending’ dalam fenomena yang dialami keluarga Perron seperti dalam filem tersebut.

Filem ‘The Conjuring’ pada tahun 2013 dihasilkan berdasarkan kisah keluarga Perron.
Lima beradik Perron (di belakang) bersama pelakon kanak-kanak yang membawa watak mereka dalam filem The Conjuring.
Antara babak dalam filem The Conjuring.
Watak Ed dan Lorraine dilakonkan semula dalam filem The Conjuring.

Adakah rumah itu masih wujud hari ini?

Ya, rumah itu masih ada dan masih diduduki oleh pemilik baru yang sering bertukar ganti. Dan keadaannya masih sama, siapa saja yang berpindah masuk ke dalam rumah itu akan mengalami pelbagai gangguan misteri antaranya pintu yang tertutup sendiri, suara orang bercakap, bunyi tapak kasut dan macam-macam lagi.

Adakah roh Bathsheba masih di situ? Tidak pasti!

Penghujung tahun lalu, rumah ini telah disenaraikan untuk dijual dengan harga $1.2 juta, termasuk kawasan sekitarnya seluas 8 hektar. Oh ya, harga itu pakej sekali termasuk dengan segala roh yang memang menetap di situ.

Tahun lalu rumah ini disenaraikan untuk dijual dengan harga $1.2 juta.
Siapa yang membeli rumah ini bukan saja dapat rumah dengan kawasan yang amat luas, bahkan sekali dengan pakej bersama ‘hantu-hantu’ yang sudah menetap sekian lama di rumah ini.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen