Tangkap layar Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang bercakap kepada media menerusi video dimuat naik ke akaun media sosialnya, hari ini.

DESAS-desus bahawa Barisan Nasional (BN) hanya menawarkan empat kerusi untuk ditandingi Pas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mendapat respons negatif Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi malah mengatakan Pas bukan meminta sedekah sebaliknya mempunyai kekuatan sendiri untuk bertanding dalam PRN itu.

Menurut beliau, rundingan juga masih belum dilakukan antara kedua-dua pihak.

“Kita ada dengar khabar angin, mereka (UMNO) nak beri kita empat kerusi, di Melaka dulu dua kerusi.

“Takkan kita minta sedekah kerusi-kerusi ini? Pas tak akan minta sedekah, kita ada kekuatan sendiri,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Video sidang media itu turut dimuat naik ke media sosial Abdul Hadi, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas soal pembahagian kerusi dalam PRN Johor tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, Pas mempunyai kekuatan di 197 kawasan daripada 220 Parlimen di seluruh negara.

Baca artikel berkaitan: Tawar hanya empat kerusi dalam PRN Johor ‘bukan cara baik’ – Tuan Ibrahim

Malah, beliau berkata, Pas juga mempunyai sejuta ahli dengan 800,000 daripadanya bergiat aktif.

“Kita buktikan melalui bencana banjir baru-baru ini di mana jentera Pas turun di Pahang, Selangor dan Johor.

“Jentera kita ada yang bina rumah siap dalam tempoh satu malam sahaja,” jelas beliau.

Sebelum ini, tular satu video dipercayai dirakam sewaktu mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor memaparkan Pengerusinya, Datuk Hasni Mohammad memaklumkan bahawa parti itu menawarkan empat kerusi yang dijamin boleh dimenangi Pas.

Bagaimanapun, Hasni memberitahu, Pas menolak tawaran diberikan UMNO kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah menawarkan 15 kerusi untuk ditandingi parti itu.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man juga dilaporkan bahawa parti itu berminat meletakkan calon di semua kerusi yang gagal dimenangi BN semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam PRN Johor kali ini.

Tuan Ibrahim juga berpendapat bahawa tawaran hanya empat kerusi kepada Pas di Johor bukan cara yang baik.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram