WALAUPUN telah melantik ketua jurulatih baharu dari Korea Selatan, namun drama bola sepak negara terutama membabitkan skuad Harimau Malaya masih belum reda.

Terbaharu, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim FC mendedahkan bekas Pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD), Lim Teong Kim pernah meminta gaji setinggi 70,000 (RM327,777) hingga 80,000 euro (RM374,602).

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan yang pernah mengendalikan skuad remaja Bayern Munich itu tampil menafikan dakwaan Tunku Ismail.

Menerusi komen di laman Instagram, Teong Kim menyifatkan apa yang diperkatakan Tunku Ismail sebagai tidak benar.

“Maaf Tunku, apa yang kamu kata tidak benar,” katanya dalam komen tersebut.

Tunku Ismail bagaimanapun tidak menunggu lama membalas komen tersebut dengan mengatakan pihak kewangannya tahu berapa banyak gaji yang diminta Teong Kim.

“Jangan nak temberang. Pihak kewangan kami tahu berapa banyak kamu minta.

“Bila saya tanya kenapa mahal sangat, awak jawab jikalau saya mampu beli Lamborghini, takkan gaji tu saya tak mampu. Itu apa yang awak cakap. Jadi tolong jangan nak twist (putar belit),” bidas Tunku Ismail.

Tangkap layar komen Lim Teong Kim menerusi laman Instagram yang kemudian dibalas Tunku Ismail.

Teong Kim kemudian sekali lagi membalas komen berkenaan dengan mengatakan tidak pernah bercakap dengan pihak kewangan seperti diperkatakan Tunku Ismail.

“Tidak benar, saya tidak ingat bercakap dengan finance team. Saya tahu dan ingat bercakap dengan Tunku dan apa kena mengena tentang kegagalan pasukan kebangsaan dengan saya?

“Saya nak tanya Tunku, adakah saya memohon jawatan pasukan kebangsaan? Untuk pengetahuan anda, Pep Guardiola dan Thomas Tuchel juga bermula daripada pasukan belia, begitu juga ramai lagi jurulatih di Eropah.

“Saya juga memiliki lesen jurulatih profesional UEFA,” kata Teong Kim.

Baca artikel berkaitan: ‘Diet apa diet?’, balas Muhammad Sanusi kepada TMJ

Drama itu bagaimanapun tidak berakhir di situ, Tunku Ismail dalam laman Twitter kemudiannya menjawab bahawa beliau ditanya pendapat mengenai Teong Kim sebagai jurulatih pasukan kebangsaan yang baharu.

“Jadi saya jawab dan memberi pendapat saya termasuk gaji yang diminta untuk menjadi jurulatih pembangunan JDT. Kalau LTK (Teong Kim) nak menafikan, saya ada saksi.

“Kalau nak bercerita mengenai lesen kejurulatihan, jurulatih kecergasan JDT pun ada lesen profesional UEFA,” katanya.

Dalam satu wawancara khas bersama Astro Arena, petang semalam, Tunku Ismail mendedahkan Teong Kim pernah meminta gaji tinggi semasa JDT mahu mendapatkan khidmatnya.

“Kalau untuk pembangunan, boleh tetapi berapa gaji dia? Masa dia mahu kerja dengan saya, dia minta 70,000, 80,000 euro (RM327,000-RM374,000) sebulan dan mahu membawa dua lagi pembantunya.

“Takkan saya nak bayar seperti itu. Jurulatih dan pemain saya pun tidak sampai begitu (gaji). Bagi saya itu banyak sangat tetapi semua orang berhak meminta sesuatu.

“Cuma kita tengok CV (biodata) dan pernah atau tidak dia menjadi jurulatih pasukan kebangsaan? Kalau dia sayangkan pembangunan Malaysia, suruhlah dia buat pembangunan dengan gaji RM20,000,” katanya.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram