KHAIRUSSALEH RAMLI

MAYBANK melantik Datuk Khairussaleh Ramli sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (GPCEO) Maybank, selepas mendapat kelulusan Bank Negara Malaysia (BNM) berkuatkuasa 1 Mei ini.

Khairussaleh akan menggantikan Datuk Seri Abdul Farid Alias yang tidak memperbaharui kontrak sebagai GPCEO.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa, berkata Lembaga Pengarah mengalu-alukan Khairussaleh dan menantikan peluang untuk bekerjasama dengan beliau dalam fasa pertumbuhan Maybank yang seterusnya.

“Khairussaleh menyertai semula keluarga Maybank dan membawa bersama beliau pelbagai pengetahuan dan pengalaman hampir 30 tahun daripada industri perkhidmatan kewangan dan pasaran modal.

“Kami yakin dengan pengalaman luasnya, beliau akan dapat menerajui Maybank dalam fasa pertumbuhan seterusnya, berteraskan bidang fokus M25 seperti pendigitalan, kemampanan dan pemacu nilai baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairussaleh, 54, sebelum ini adalah Pengarah Urusan Kumpulan bagi Kumpulan Perbankan RHB, di mana beliau bertanggungjawab merangka hala tuju strategik kumpulan dan memimpin organisasi tersebut mencapai matlamat dan objektif penciptaan nilai di bawah strategi lima tahun berakhir tahun kewangan 2022.

Semalam, beliau telah mengumumkan peletakan jawatannya di RHB berkuatkuasa 25 Mac 2022.

Sebelum menyertai Kumpulan Perbankan RHB, beliau bersama Maybank antara November 2008 dan September 2013, dan telah berkhidmat selama tiga tahun sebagai Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan sebelum memegang jawatan sebagai Presiden Direktur dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank di Indonesia.

Ketika di Maybank Indonesia (ketika itu dikenali sebagai Bank Internasional Indonesia), beliau memperkenalkan program transformasi perniagaan yang akhirnya membawa kepada pemulihan perniagaan bank berkenaan, menghasilkan pertumbuhan keuntungan sebanyak 81 peratus untuk tahun kewangan 2012.

Beliau juga menerima pengiktirafan ‘CFO Terbaik di Malaysia’ daripada Finance Asia pada 2010 dan 2011 dan Alpha Southeast Asia pada 2012.

Pengalaman sektor korporat beliau yang lain termasuk menyandang jawatan sebagai Ketua Pegawai Strategi Kumpulan di Telekom Malaysia Bhd (TM), Ketua Pegawai Eksekutif TM Ventures dan Ketua Pegawai Kewangan di Bursa Malaysia Bhd, di mana beliau mengetuai penyenaraian syarikat itu di bursa pada tahun 2005.

Beliau juga pernah berkhidmat selama lapan tahun dengan Kumpulan Public Bank di bahagian Perbankan Korporat dan Pembrokeran Saham/Pembrokeran Futures.

Khairussaleh memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Washington dan merupakan graduan Program Pengurusan Lanjutan di Harvard Business School.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram