Sebahagian daripada orang ramai mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 dos penggalak secara walk-in di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid 19, Pusat Konvensyen IDEAL (IDCC), Shah Alam, semalam. GAMBAR: Abd Razak Aid

DI SEBALIK beberapa kisah kesan sampingan yang diperkatakan di media sosial, pemberian dos penggalak vaksin COVID-19 dalam kalangan orang dewasa di Malaysia terus rancak.

Semalam sahaja, sebanyak 199,251 dewasa menerimanya.

Perkembangan ini menjadikan jumlah kumulatif populasi dewasa yang diberikan suntikan penggalak di negara ini meningkat kepada 11.53 juta atau 49.3 peratus.

Bagaimanapun, berdasarkan statistik 23 Januari lalu, Sabah dan Kelantan mencatatkan peratusan pemberian dos penggalak yang jauh lebih rendah berbanding purata kebangsaan.

Sarawak dan Lembah Klang pula mencatatkan peratusan tertinggi dengan melebihi 60 peratus, menurut rekod Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksinasi COVID-19 (JKJAV) Ahad lalu.

Statistik pemberian dos penggalak mengikut negeri yang dikeluarkan JKJAV setakat 23 Januari lalu.

Pemberian dos penggalak antara strategi bagi berdepan gelombang Omicron yang mula disaksikan apabila lebih 5,000 jangkitan COVID-19 direkodkan semalam.

Sementara itu, data Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi laman COVIDNOW menunukkan sejumlah 22.92 juta atau 97.9 peratus daripada populasi dewasa telah melengkapkan vaksinasi mereka.

Seramai 23.19 juta individu atau 99.1 peratus daripada golongan itu pula telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19.

Baca: 5,439 kes baharu, kembali lepasi angka 5,000 selepas 48 hari

Dos penggalak, lonjakan kes dan usaha elak hospital terbeban

Bagi populasi remaja berumur 12 hingga 17 tahun, seramai 2.78 juta individu atau 88.5 peratus telah melengkapkan vaksinasi mereka, manakala 2.86 juta individu atau 91.1 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Statistik harian itu juga menunjukkan bahawa sejumlah 203,613 dos vaksin telah diberikan semalam, melibatkan 1,660 dos pertama dan 2,702 dos kedua, menjadikan jumlah kumulatif dos vaksin yang diberikan di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) kepada 63.1 juta.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram