tasha shila

PELAKON Tasha Shila mengesahkan dirinya kini hamil anak kedua walaupun anak sulungnya belum berusia setahun.

Tasha atau Natasha Sheila Abdul Razak,34, berkongsi khabar gembira itu menerusi entri di Instagram yang turut memaparkan imej imbas (ultrasound) kandungan keduanya.

“Syukur Alhamdulillah ke hadrat Allah SWT. Khabar gembira buat kami sekeluarga ialah kehamilan yang kedua buat saya.

“Pada hari Jumaat yang mulia ini saya harap kalian doakan semoga semua berjalan dengan lancar dan baik. Insya-Allah,” katanya.

Walau bagaimanapun, Tasha tidak memperincikan dan berkongsi usia kandungannya.

Dalam pada itu, Tasha turut sempat menitipkan doa kepada pasangan yang masih menanti rezeki anak agar dapat merasai pengalaman bergelar ibu dan bapa.

“Saya dan keluarga juga turut mendoakan pada pasangan yang masih menanti dikurniakan anak, akan dihadiahi amanah Allah itu pada masa akan datang,” tulisnya.

Tasha mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Atiq pada 23 Februari 2020 dan hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan cahaya mata lelaki, Raees Zander Muhammad Atiq yang kini berusia 10 bulan.