PELAKON dan pelawak Zizan Razak mengaku pernah merancang untuk mendirikan rumah tangga pada usia 25 tahun.

Namun, dia tetap reda jodohnya masih belum ‘dipertemukan’ meskipun kini usianya sudah 38 tahun.

Pelakon filem Abang Long Fadil itu percaya dengan aturan Ilahi dan akur dengan apa sahaja yang tertulis buat dirinya.

“Sejujurnya sepanjang beberapa kali menjalinkan hubungan cinta, saya memang berniat nak berkahwin tapi nak buat macam mana, plan itu tak menjadi.

“Itu semua bagi saya kerja Allah. Kalau Allah tak izinkan, saya tak boleh marah…takkan lah saya nak marah Allah.

“Kenapa saya nak lawan takdir dan mengamuk. Walaupun Allah belum beri jodoh tapi saya diberikan rezeki dari segi karier seni, restoran, beberapa perniagaan dan banyak lagi,” katanya kepada URTV.

Dalam pada itu, Zizan atau nama lengkapnya Muhd. Razizan Abdul Razak tumpang bahagia melihat kehidupan rakan wanita yang pernah dikaitkan dengan dirinya sebelum ini telah mendirikan rumah tangga dengan lelaki pilihan.

“Saya bahagia tengok kehidupan mereka yang pernah dikaitkan dengan saya.

“Saya sekalipun tidak pernah rasa tertekan bila jodoh belum sampai sebab kerjaya masih berjalan seperti biasa…di situlah saya lepaskan tekanan,” ujarnya lagi.

Zizan berkata demikian ketika ditemui URTV pada majlis pra pelancaran filem Rompak di ibu negara.

Selain Zizan, Rompak turut dibintangi oleh MK K-Clique dan Daiyan Trisha yang akan memulakan penggambaran Februari ini

Mengulas lanjut mengenai pandangan keluarganya pula, Zizan bagaimanapun bersyukur kerana ibunya iaitu Anai Ibrahim tidak mendesak untuk melihat dia mengakhiri zaman bujang.

“Saya okey walaupun kadangkala terfikir kalau tiada jodoh, apa lagi saya nak buat? Jika ada (jodoh), kita jalan terus (kahwin).

“Saya serahkan soal jodoh pada ibu. Kalau dia kata okey dengan pilihan saya serta ujian Puspakom dan JPJ lulus, kita kahwin. Buat masa ini saya masih selesa atas katil seorang diri.

“Saya tak tolak jika berjodohan dengan rakan artis malah tak kisah fasal pekerjaan bakal isteri saya itu nanti.

“Ada juga yang pesan pada saya jangan cari daripada golongan artis…apa hina sangat ke mereka (artis)? Mereka manusia juga, kita tak tahu pengakhirannya macam mana sebab kita pun macamlah tak buat dosa,” tuturnya.

Sebelum ini, Zizan pernah dikaitkan bercinta dengan selebriti antaranya Che Puan Juliana Evans, Emma Maembong dan Mira Filzah yang semuanya sudah mendirikan rumah tangga.