SELEPAS dua tahun berkenalan, akhirnya pengacara Zulin Aziz mengikat tali pertunangan dengan pilihan hati yang juga rakan kongsi perniagaanya, Farhan Norzaini, malam tadi.

Majlis diadakan secara tertutup dan sederhana selain dihadiri keluarga terdekat kedua-dua belah pihak di kediaman abang Zulin di Segambut Dalam, Kuala Lumpur, sekitar pukul 9 malam.

Menurut Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abdul Aziz,33, dia dan Farhan,35, sepakat memilih untuk melangsungkan pertunangan pada hari ini selepas pulang dari mengerjakan ibadah umrah hujung tahun lalu.

Pada majlis berkenaan, Zulin turut menerima dua bentuk cincin (merisik dan bertunang) daripada tunangnya.

“Alhamdulillah, Farhan melamar saya ketika berada di Madinah. Sebenarnya sudah lama kami merancang, akhirnya Allah memperkenankan doa saya ketika berada di Tanah Suci.

“Majlis pada malam ini juga diadakan serba ringkas. Malah atas permintaan keluarga kami hanya menjemput keluarga terdekat sahaja demi menjaga prosedur operasi standard ( SOP),” katanya kepada URTV.

Foto Ihsan Kahnz Photograffiti/ Jimmy Kamarudin

Ditanya mengenai Farhan yang berjaya memenangi hatinya, Zulin yakin dan percaya jejaka itu mampu membimbingnya ke jalan yang diredai.

“Dia seorang yang bertanggungjawab dan pandai mengambil hati keluarga. Dia juga seorang pendengar yang setia. Saya selesa bersama dengannya dan boleh meluahkan apa sahaja kepadanya,” tuturnya lagi.

Sementara itu, Farhan menyifatkan Zulin sebagai seorang yang mempunyai hati yang tulus dan ikhlas serta pandai mengambil hati keluarganya.

“Dia berada bersama saya di saat saya mengharungi detik paling hitam dalam hidup iaitu ketika saya kehilangan arwah ibu pada Oktober tahun lalu.

“Disitu saya tahu bahawa dialah wanita yang saya mahu sehidup semati. Malah arwah ibu pernah berpesan jika mahu memilih calon isteri, pilihlah wanita yang boleh menjaga saya seperti mana arwah menjaga saya… Zulin ada ciri-ciri itu,” kongsinya.

Menyingkap kembali momen saat pertama kali mereka berkenalan, kata Farhan dia memberanikan diri menghantar mesej kepada Zulin menerusi Instagram (IG) selepas menonton rancangan Melodi di TV3.

“Waktu itu saya sedang menonton rancangan Melodi bersama arwah ibu. Kebetulan ada paparan cerita Zulin tak jadi kahwin. Lepas itu arwah ibu cakap dia rasa kasihan dengan Zulin. Malah tak semena-mena, arwah ibu cakap tak kisah andai Zulin jadi menantunya.

“Seterusnya, adik saya yang mendesak supaya mengirimkan mesej langsung kepada Zulin di IG. Saya memberanikan diri dan tak sangka dia membalas mesej.

“Masa itu saya fikir tak mungkin Zulin membalas mesej kerana saya hanya orang biasa di antara jutaan pengikutnya yang lain,” kata Farhan.

Pasangan ini merancang untuk bernikah pada 20 Februari hadapan kerana tidak mahu bertunang terlalu lama selain ingin mempercepatkan perkara yang baik.

Terdahulu, kisah keintiman pasangan ini mula dihidu sejak tahun lalu apabila Zulin berkongsi gambar bersama Farhan di Instagram pantas mencetuskan spekulasi.

Tanpa berselindung, Zulin sekitar Mac tahun lalu menerusi entri gambar berdua di Instagram (IG) turut berani memanggil Farhan dengan gelaran ‘B’ atau ‘Baby’ di ruangan kapsyen.