INISIATIF beberapa kumpulan nasyid sebelum ini berkolaborasi dengan penyanyi solo ternama diakui berjaya menghidupkan semula irama nasyid tanah air.

Biarpun lagu yang dinyanyikan itu adalah versi rakaman semula, sekurang-kurangnya usaha dilakukan itu mampu memperkenalkan irama nasyid kepada generasi muda hari ini sekaligus mengumpul peminat baharu.

Tidak ketinggalan kumpulan Mestica yang kini muncul dengan single baharu berjudul Istikharah yang berkolaborasi dengan penyanyi terkenal Datuk Hattan.

Mestica yang ditubuhkan pada 2003 ini antara kumpulan nasyid yang menjadi kegilaan pelajar universiti dan peminat irama itu dengan deretan lagu popular mereka.

Selepas kali terakhir muncul dengan album Projek Palestin –Satu Misi Kemenangan bersama beberapa penyanyi nasyid lain pada 2013, tahun ini Mestica yang dianggotai Muhamad Razin Che Mud (Razin), Mohd Khairulnizam Zainol (Khairul) dan Khalil Khusairi Tarmizi (Khalil) mencuba sesuatu yang baharu.

Menurut Razin juga pencipta lagu Istikharah, ia adalah satu penghormatan buat mereka apabila Hattan bersetuju untuk berkolaborasi bersama Mestica dalam lagu tersebut.

Istikharah merupakan kerjasama pertama Bepositive Music dan juga Masyhur yang diedarkan oleh Universal Music Malaysia.

“Untuk lagu ini tentunya kita meletakkan harapan yang tinggi apatah lagi ini kali pertama Mestica berduet dalam satu single dengan Hattan yang cukup besar namanya dalam industri muzik kita.

“Saya difahamkan Hattan sendiri tidak pernah terbabit dengan produksi atau merakamkan single bergenre nasyid. Ini satu penghormatan juga disebabkan Hattan memilih kami sebagai artis nasyid pertama yang beliau berkolaborasi untuk menghasilkan satu single.

“Tentunya satu penghormatan juga apabila Hattan bukan sahaja sudi berkolaborasi malah sudi menyanyikan lagu yang dihasilkan oleh Mestica sendiri.Kita mengharapkan lagu ini mendapat sambutan yang baik.

“Sudah pasti ia memberi impak yang besar kepada Mestica dan kepada semua yang terbabit. Dengan sambutan yang baik Insya-Allah akan memberi motivasi kepada kami untuk terus berkarya dan meletakkan Mestica kepada satu tahap yang baharu dalam industri muzik tempatan,” katanya kepada URTV.

Istikharah sudah dilancarkan bermula semalam (Jumaat)

Berkongsi lanjut mengenai lagu Istikharah, Razin berkata lirik lagu itu ditulis oleh isterinya, Mass Mohamad yang mana lagu itu adalah satu ‘subject matter’ yang jarang diangkat dalam nasyid ataupun lagu lain.

“Lagu Istikharah ini sebuah lagu yang cukup istimewa bagi Mestica yang mana ia adalah lagu yang memang dicipta khusus untuk Mestica dan dicipta oleh saya dan liriknya daripada Mass Mohammad iaitu isteri saya.

“Lagu ini adalah satu ‘subject matter’ yang jarang diangkat dalam nasyid ataupun lagu lain.

“Kadang-kadang mungkin ramai yang tidak tahu apa Istikharah itu. Tapi, apabila ia dijadikan inti ataupun isi kepada sebuah lagu maka lebih mudah untuk diterjemahkan yang mana Istikharah ini merujuk kepada solat yang dilaksanakan oleh seorang Muslim ketika berada dalam persimpangan untuk membuat keputusan.

“Ia sinonim dalam masyarakat kita bila nak mencari atau bertemu jodoh sama ada pilihannya betul atau tidak. Alhamdulillah, isi dan lagu ini saya kira sangat dekat dengan hati orang dan semua akan melalui proses ini sama ada dalam jodoh, kerjaya atau apa jua situasi,” katanya.

Dalam masa sama, Razin berkata, dia mempunyai alasan tersendiri kenapa Istikharah dihasilkan dalam genre balada.

Malah, menurut Razin proses rakaman lagu itu juga dianggap mencabar kerana Mestica sudah lama tidak merakamkan lagu baharu selain perlu berduet dengan Hattan.

“Kita tahu lagu balada dan pop balada ini satu genre muzik yang sangat diminati oleh masyarakat Malaysia terutamanya orang Melayu. Saya masih ingat proses penulisan lagu itu bermula ketika baru pulang dari konsert Opick di Kuala Lumpur.

“Ketika memandu, saya dapat melodi ini dan saya padankan dengan satu lirik sedia ada yang bertajuk Istikharah.

“Alhamdulillah, akhirnya ia siap sebagaimana yang disaksikan dan sudah sempurna sebagai sebuah lagu. Proses rakaman adalah satu proses yang cukup mencabar disebabkan kami lama tidak masuk ke studio apatah lagi bila kita berkolaborasi dengan Hattan tentunya ada segan dan gerun disebabkan kami ini semua membesar dengan lagu-lagunya.

“Alhamdulllah, walaupun mencabar tetapi tetap berjalan sempurna dengan bantuan semua kru produksi yang terlibat. Cabaran sepanjang proses, memang banyak tetapi yang paling penting adalah bagaimana ia ditempuh dan ditangani dengan baik oleh semua yang terbabit,” ungkapnya.

Sementara itu, Hattan menyifatkan lagu Istikharah adalah lagu yang memberi semangat serta perjuangan.

“Saya ‘salute’ apa yang Mestica cuba buat ini dan saya menyokong penuh single terbaharu ini. Saya tidak terbabit dalam proses penciptaan lagu ini.

“Dari segi proses rakaman lagu berjalan dengan begitu baik dengan bantuan daripada pakar nasyid iaitu Daqmie. Ia memberikan satu semangat dan memudahkan disebabkan tunjuk ajarnya kerana saya tidak pernah buat rakaman nasyid sebelum ini,” kongsinya.

Pun begitu, Hattan mengakui dia mengharapkan sesuatu yang berbeza dalam penghasilan video muzik.

“Proses muzik video, sebenarnya saya harapkan perkara yang lain. Saya berharap muzik video itu menjadi sesuatu yang lain.
“Tapi apapun, bukan semua idea kita sama dan ia tetap bagus sebab dapat bekerjasama dengan anak muda serta pasukan yang baru saya kenal ini.

“Harapan saya, agar lagu ini akan meletup dan menjadi satu lagu yang boleh dikaji oleh orang ramai agar dapat dijadikan panduan yang baik.

“Semoga kita terus berjuang dan lagu ini mendapat tempat di hati para pendengar.Insya-Allah saya doakan semoga Mestica dan pasukan produksi terus maju pada masa hadapan. Sama-sama kita doa,” akhirinya.