SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita apabila diberitahu mengenai kegiatan tidak bermoral menjual sijil vaksin COVID-19 palsu. GAMBAR: Selangor Royal Office

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa dukacita dan sangat prihatin apabila diberitahu mengenai kegiatan tidak bermoral segelintir pengamal perubatan swasta di negeri itu yang didapati menawarkan serta menjual sijil digital vaksin COVID-19 palsu kepada orang ramai.

Menerusi kenyataan dimuat naik dalam akaun Facebook Selangor Royal Office, Sultan Sharafuddin juga terkejut dengan modus operandi diguna pakai individu berkenaan yang juga seorang doktor yang juga pemilik klinik di Gombak dan enam orang pembantu klinik yang tergamak mencemarkan etika kerja perubatan profesional.

Doktor dan enam pembantu klinik itu telah ditahan polis Selangor, baru-baru ini.

Sultan Selangor bertitah, menerusi siasatan awal, individu terbabit juga memberikan suntikan kosong dengan membuang cecair vaksin COVID-19 yang dibekalkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kepada 5,601 pelanggan yang terdiri daripada golongan antivaksin.

Sultan Sharafuddin turut meminta pihak-pihak berkuasa di Selangor menyiasat, menangkap dan mengambil tindakan tegas ke atas mereka yang didapati menyalahguna kuasa sebagai pengamal perubatan.

“Jika didapati bersalah, mereka ini harus dijatuhi hukuman paling berat.

“Lebih mendukacitakan baginda, ada dalam kalangan pengamal perubatan yang terlibat adalah berbangsa Melayu dan beragama Islam, namun sanggup melakukan perkara yang keji dan berdosa demi memperoleh kekayaan segera,” titah Sultan Selangor menerusi kenyataan itu.

Baca artikel berkaitan: Semoga bantuan LZS kurangkan beban mangsa banjir – Sultan Selangor

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan rasa amat kecewa dengan perkembangan terbaharu itu yang boleh menjejaskan usaha kerajaan dan KKM untuk menghentikan penularan wabak COVID-19.

Tegas baginda, sekiranya kegiatan sedemikian terus berleluasa ditambah pula kedegilan golongan antivaksin, bilakah kemelut wabak COVID-19 yang telah membelenggu dunia dan mengorbankan jutaan nyawa sejak dua tahun lalu akan berakhir.

“Rakyat di negara ini, titah baginda, tidak akan mampu lagi berhadapan krisis kesihatan kesan daripada penularan wabak penyakit seperti COVID-19 yang telah melumpuhkan ekonomi dan menjejaskan kehidupan harian.

“Baginda berharap tidak ada pihak yang mengambil kesempatan untuk kepentingan peribadi semata-mata tanpa mempedulikan kesan buruk yang boleh berlaku terhadap masyarakat khususnya apabila membabitkan hal ehwal kesihatan awam,” menurut kenyataan itu.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram