5 K-drama beri inspirasi sempena azam tahun 2022!

SETIAP kali tahun baharu tiba, pasti akan ada azam dan misi baru yang dibuat oleh setiap individu untuk menjadi insan yang lebih baik dari sebelum ini.

Tidak kira lah ingin menurunkan berat badan, mengamalkan gaya hidup sihat atau memulakan hobi yang baru, perkara tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk dicapai sekiranya tiada sokongan, inspirasi dan disiplin daripada diri sendiri.

Menyedari tentang perjuangan tersebut, URTV membawakan senarai lima K-drama bagi membantu dan memberi sokongan dalam merealisasikan impian anda sempena Tahun Baharu ini!

Oh My Venus – Misi turunkan berat badan

Azam yang paling popular disebut-sebut setiap individu adalah untuk menurunkan berat badan. Drama hit Oh My Venus dapat memberikan inspirasi buat anda tentang bagaimana cara berkesan mahu membuang lemak di badan dengan cara yang sihat tanpa pengambilan sebarang produk. Siri komedi romantik ini mengisahkan tentang Kang Joo Eun (Shin Min Ah) sebagai seorang peguam yang berusaha menurunkan berat badan dengan bantuan jurulatih peribadi profesional iaitu Kim Young Ho (So Ji Sub). Drama ini penuh dengan nasihat tentang pengambilan makanan yang sihat serta rutin senaman harian.

It’s Okay to Not Be Okay – Menitik berat kesihatan mental

Bukan sahaja kesihatan fizikal yang perlu dijaga, malah kesihatan mental turut menjadi aspek yang sangat penting untuk dititik beratkan. Apatah lagi dengan kehadiran wabak pandemik Covid-19 ini semestinya mencabar kesihatan mental setiap individu.. Itulah sebabnya mengapa drama It’s Okay to Not Be Okay dimasukkan dalam senarai ini. Drama hit ini sarat dengan kupasan isu penyakit mental yang sering dihadapi dalam kalangan masyarakat. Dibintangi oleh pelakon terkenal, Seo Yea-Ji, Kim Soo-hyun dan Oh Jung-se.

Weightlifting Fairy Kim Bok Joo – Bersenam setiap hari

Siapa sahaja tidak mengenali drama hit 2016 yang mengisahkan tentang Kim Bok Joo (Lee Sung Kyung) yang merupakan seorang atlet angkat berat. Usaha dan dedikasi yang ditunjukkan Bok Joo bagi merealisasikan impian sebagai seorang atlet bertaraf dunia semestinya dapat memberi inspirasi buat para penonton K-drama untuk terus kekal sihat. Drama Weighlifting Fairy Kim Bok Joo ini dapat membantu anda sebagai sebuah inspirasi untuk bersenam setiap hari. Turut dibintangi pelakon Nam Joo-huk dan Kyung Soo-jin.

Reply 1988 – Luangkan masa bersama keluarga dan rakan

Azam yang paling penting dalam setiap individu ialah impian untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan tanpa memikirkan soal kerja. Drama komedi Reply 1988 ini penuh dengan kisah keluarga dan persahabatan yang dapat membuatkan anda melupakan masalah buat seketika. Malah, drama yang sarat dengan pengajaran ini pastinya dapat membuatkan anda lebih menghargai detik-detik ketika meluangkan masa bersama keluarga. Dilakonkan oleh Hyeri, Ryu Jun-yeol dan Park Bo-gum.

Twenty Again – Belajar perkara baharu

Drama Twenty Again ini pastinya dapat memberikan inspirasi buat anda yang meletakkan azam untuk mempelajari kemahiran baharu. Meskipun anda merasakan keadaan umur yang semakin meningkat seakan tidak mengizinkan, namun drama ini telah membuktikan sebaliknya. Drama yang berkisahkan tentang Ha No-Ra,38, disahkan menghidap penyakit kanser telah memutuskan untuk kembali ke universiti bersama anaknya Min-Soo,20, bagi menjalani kehidupan seperti di usia 20-an. Dibintangi oleh pelakon terkenaal Choi Ji-woo, Lee Sang-yoon dan Son Na-eun.