sprm
- GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMAKMURAN kian ke tepi. Serangan persepsi kian ke depan. Governans dan integriti institusi awam dan korporat kian hangat dipersoal. Rakyat kian sesak nafas berselimut gelora. Inilah kata-kata kunci dalam rencana saya kali ini.

Makin acap kali didengar kekecewaan rakyat mempersoalkan mutu perkhidmatan awam dan korporat, yang diparahkan dengan pelbagai gejala songsang; rasuah, salah guna kuasa, gila kuasa dan bersekongkol dengan kartel ekonomi hitam.

Terkini ialah bila tiga bank utama milik syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberikan pinjaman tanpa kolateral kepada sebuah syarikat senaraian awam (PLC) gergasi yang pastinya mereka tahu ia sudah hampir muflis. Adakah CEO ketiga-tiga bank itu dungu? Tentunya tidak. Mereka tokoh korporat hebat.

Jika tidak dungu, bodoh apanya mereka tergamak meluluskan pinjaman sedemikian besar tanpa kolateral? Takkan Kementerian Kewangan (MOF), Bank Negara Malayzia (BNM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tak tahu?

Takkan MOF, BNM dan KWSP juga dungu? Yang kita semua tahu ialah selama ini rakyat tak tahu pinjaman sedemikian boleh diberikan. Adakah rakyat sudah didungukan? Saya adalah sebahagian dari rakyat, maka saya juga berhak untuk tahu. Kecualilah jika saya juga dungu.

Bila sindrom pelbagai gelora ini melanda, kemampuan governans dan tahap integriti kebanyakan institusi ini mendorong pelbagai pihak bertindak, ada di antara tindakan itu keras, atau bidasannya pedas.

Golongan cauvinis dan oportunis sudah mula melakukan serangan persepsi bagi membina kebencian rakyat terhadap institusi-institusi tersebut.

Dalam pada itu mereka juga mengunakan senjata ini untuk turut menyerang beberapa institusi strategik lain bagi mengelirukan rakyat. Kami yang bukan dari golongan itu pun mula bertindak, sekalipun tidak sekeras mereka. Salahkah kami bertindak atau bersuara?

Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 yang baru dikeluarkan oleh Transparency International (TI) adalah peluru paling berharga yang sukar ditepis oleh mana-mana institusi, menafikan serangan persepsi mengenai sindrom yang melanda.

Ranking Malaysia dalam CPI tiga tahun kebelakangan ini amat memalukan, menurun dari tangga 51/180 (2019) ke 57/180 (2020) dan terus menurun ke kedudukan 62/180 dalam tahun 2021. Lebih memalukan negara jiran kita yang bukan sebuah negara Islam, berada di ranking keempat dunia.

Apa maknanya? Mana nak letak muka kita bila sebahagian besar peneraju institusi awam dan korporat kepentingan nasional ini diterajui orang sebangsa dan seagama dengan saya?

SPRM dengan bala tenteranya yang tak sampai 4,000 orang berhempas pulas menangani pelbagai gejala songsang itu yang semakin canggih kaedah operasi dalang-dalangnya. Dalam keadaan sedemikian, SPRM itu sendiri dijadikan sasaran utama serangan persepsi ini. Rakyat keliru dibuatnya.

SPRM kini ibarat harimau yang luka parah, taringnya cuba dipatahkan. Pun begitu dalam keparahan itu ia tetap cekal melaksanakan amanah yang digalasnya. Terkini jerung di salah sebuah GLC dapat dicekupnya. Siapa yang terajui GLC ini?

Realitinya, jika kita selama ini menyangkakan banyak jerung dalam perkhidmatan awam dan institusi politik, bila kegilaan mengkhianati amanah rakyat ini cuba diselak habis-habisan, rupa-rupanya kegilaan ini lebih dahsyat dalam dunia korporat.

Jika dalam tiga pilihan raya umum (PRU) yang lepas senjata serangan persepsi telah berjaya menjatuhkan kerajaan kleptokrat, insaflah wahai rakan-rakan dalam sektor awam dan korporat, dalam kalangan “pejuang bangsa, agama dan negara”, kamu adalah sasaran blok oportunis penyerang persepsi ini menjelang PRU-15 ini.

Jangan salahkan mereka, kerana itu nawaitu mereka menyerang kamu bagi menghasilkan impak pantulan, memantul menjatuhkan kerajaan yang kamu dokong. Jatuh institusi yang kamu terajui, akan jatuhlah kerajaan yang kita sama-sama dokong.

Usahkan mereka yang kita labelkan sebagai puak cauvinis dan oportunis, kami yang rapat dengan kamu ini pun semakin kuat mengeluh bila kemakmuran yang kami impikan, nampak-nampak gayanya adalah mimpi yang melalaikan kami terlewat bangun untuk bertahajud.

Insaflah, Melayu Mahawangsa itu bangsa yang hebat. Nenek moyangnya sejak yang diingat dan disejarahkan, baik di era Srivijaya, hingga ke era David Kalakao Hawaii dan Maharaja Abu Bakar Johor, maha hebat.

Namun, sejak kejatuhan Kesultanan Melaka hinggalah ke tarikh keramat 5857 (5 Ogos 1957), kehebatan bangsa ini merudum. Sudah lebih 60 tahun sejak tarikh 5857 itu. Bangsa ini cuba bangkit dan mengimpikan kemakmuran. Belum pun ke mana, sudah bertubi-tubi cemuhan dilemparkan kepadanya dan arang dipalitkan ke mukanya.

Sidang ke-18 Jawatankuasa Pemandu MPM pada 27-1-2022 selami banyak persoalan berkaitan gelora ini. Kami khuatir, “dek dua tiga titik nila, punah sebelanga susu”, yang padanya kami menaruh harapan.

Hendaknya rakan-rakan dalam perkhidmatan awam dan korporat segeralah laksanakan The Great Renaissance untuk kita kembali hebat seperti sedia kala. Hendaknya kemakmuran yang diimpikan menjadi realiti.

Hendaknya kita menjadi bangsa yang hebat, bermaruah dan diberkati, bangsa yang berdaya maju, berdaya usaha, berdaya cipta, berdaya saing, makmur, sejahtera, berdikari dan berkeperibadian. Insya-Allah, dengan izinNya jua, impian bukan sekadar impian.

  • PENULIS merupakan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram