SEMENJAK penularan wabak Covid-19, golongan artis antara yang turut terkesan dan terpaksa mencari peluang lain bagi mencari sumber pendapatan.

Tidak terkecuali, pengarah dan pelakon, Datuk Afdlin Shauki Aksan, 51, mendedahkan dia telah mengambil inisiatif dengan menjalankan aktiviti pertanian bagi menampung kehidupannya.

“Tidak dinafikan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya juga antara anak seni yang bergelut untuk meneruskan kelangsungan hidup.

“Bukan hanya tidak boleh berlakon, tidak boleh menyanyi mahupun buat persembahan komedi.

“Jadi saya sentiasa berfikir bagaimana caranya untuk menjana pendapatan,” katanya.

Difahamkan, lokasi aktiviti pertanian itu terletak di Sendayan, Negeri Sembilan dan telah diusahakan sejak pelaksanaan PKP tahun lalu.

Malah, projek rumah hijau dengan menanam beberapa jenis sayuran itu turut mendapat sokongan dan bantuan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan.

Tambah pelakon kelahiran Johor itu, hasil tanaman tersebut akan dijual di pasar borong dan pasar tani yang berhampiran.

“Mereka buka beberapa rumah hijau dan saya usahakan dua rumah hijau. Antara sayuran yang ditanam adalah daun sup, daun bawang dan kobis.

“Hasil tanaman itu dijual di pasar borong atau pasar tani,” tambahnya lagi.

Sumber: Gempak