Sergio Mattarella dicalon semula sebagai Presiden Itali. - Gambar Bernama

SERGIO Mattarella dicalonkan semula bagi jawatan Presiden Itali buat penggal kedua, umum Speaker Dewan Rakyat Roberto Fico pada Sabtu, selepas persidangan Parlimen dan berakhirnya sesi undian pusingan kelapan.

Mattarella memperoleh majoriti tinggi, dengan 759 undi menyokong daripada keseluruhan 983 perwakilan, lapor Xinhua.

Pencalonannya dilakukan selepas dua blok politik utama gagal mencapai persetujuan terhadap pencalonan bagi presiden baharu, menyebabkan tujuh pusingan undian diadakan sejak Isnin dan tiada kata sepakat dapat dicapai.

Selepas pemimpin parti daripada kedua-dua blok itu mengakui menemui jalan buntu pada Sabtu, dan bersetuju terhadap kemungkinan Mattarella meneruskan dengan penggal kedua, permintaan berhubung perkara berkenaan telah dikemukakan kepada presiden itu.

Baca artikel berkaitan: UK, Jerman, Itali lapor kes COVID-19 babitkan varian Omicron

Selepas mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri Mario Draghi, Mattarella menyatakan kesediaannya menggalas tanggungjawab berkenaan.

Sebelum pilihan raya, Mattarella, 80, telah menjelaskan bahawa beliau tidak akan bersetuju untuk penggal kedua.

Pemilihan semula ketua negara jarang berlaku di Itali.

Setakat ini, hanya Giorgio Napolitano, Presiden terdahulu sebelum Mattarella telah berkhidmat untuk penggal kedua, dalam tempoh kurang daripada dua tahun.

Mattarella telah berkhidmat sebagai presiden sejak 2015, dan tempoh perkhidmatannya selama tujuh tahun secara rasmi tamat pada 3 Feb.

Majlis angkat sumpah perlantikan semula Mattarella sebagai Presiden dijangka berlangsung beberapa hari akan datang.

— BERNAMA