SEJAK dahulu, bermacam-macam-macam rekod cuba dilakukan. Ia menjadi kebanggaan jika rekod itu berjaya dilakukan dan disenaraikan dalam buku rekod dunia, Guinness World Records. Tapi, banyak juga percubaan rekod itu yang gagal, bahkan akhirnya meragut nyawa. Ini sebahagiannya… 

  • SAILENDRA NATH ROY, seorang pelakon lagak ngeri dari India dan pernah memecahkan dua rekod dunia Guinness menggunakan rambutnya. Pada tahun 2011 menerusi aksi flying-fox, Sailendra berjalan sejauh 82.5 meter di atas wayar yang diikat pada rambutnya. Pada 2012 pula, dia menarik sebuah enjin bersama empat gerabak kereta api sepanjang 2.5 meter juga dengan rambutnya.

Masih tidak berpuas hati, Sailendra mahu memecahkan rekodnya sendiri. Kali ini aksi lebih berbahaya dengan menyeberangi sungai Teesta sejauh 180 meter pada Ogos 2013.

Namun ketika itu rambutnya tersangkut pada wayar di pertengahan jalan. Sailendra berjaya dibawa turun hanya 45 minit kemudian, tetapi akhirnya meninggal dunia akibat serangan jantung.

Rambut Sailendra tersangkut pada wayar yang akhirnya meragut nyawanya.
  • DONAL CAMPBELL, lelaki Inggeris yang memegang rekod kelajuan di darat dan air pada tahun 1964. Masih tidak berpuas hati, dia cuba mengatasi rekod kelajuan airnya pada 4 Januari 1967.

Sewaktu dia memecut bot berkuasa jet itu dan hampir memecah rekod 480 kilometer sejam, tiba-tiba botnya terangkat ke udara, membuat Campbell tercampak ke dalam air dengan hentaman kuat. Tambah memilukan, mayat Campbell hanya dijumpai pada 28 Mei 2001, 34 tahun setelah tragedi itu berlaku.

Donald Campbell terkorban ketika mahu mencipta rekod baru.
  • Begitu juga yang menimpa Diana Paris, wanita berusia 46 tahun yang merupakan penerjun udara berpengalaman dan sudah melakukan lebih 1500 terjunan.

Pada tahun 2014, Diana menyertai kumpulan penerjun seramai 222 orang untuk membuat terjunan dari ketinggian 6,000 meter di udara. Tujuannya untuk memecahkan rekod terjunan berkumpulan paling ramai yang sebelum itu pernah dilakukan oleh 110 orang penerjun.

Malangnya semasa terjunan tersebut, payung terjun Diana gagal dibuka. Manakala payung sokongan pula hanya berfungsi apabila dia sudah terlalu hampir dengan tanah, menyebabkan Diana ibarat jatuh terhempas ke bumi dan disahkan mati di tempat kejadian. 

Diana maut apabila payung terjunnya tidak berfungsi.
  • Ini pula nasib Nick Piantanida dari Amerika yang mahu memecahkan rekod yang dicipta angkasawan Rusia yang pernah membuat aksi terjunan bebas dari ketinggian 24,500 meter dari permukaan laut.

Pada Mei 1966, Nick terbang pada ketinggian 36,000 meter lalu melakukan lompatan terjun dari pesawatnya. Malangnya, selepas 17,000 meter, suit dipakainya mengalami gangguan tekanan udara. Disebabkan itu, payung terjunnya terpaksa dilepaskan lebih awal. Apabila menjejak tanah, Nick kekurangan oksigen yang menyebabkan dia koma sebelum menghembus nafas terakhir empat bulan kemudian.

Nick mati setelah empat bulan koma.
  • Lain pula kisah Janaka Basnayake, ahli silap mata dari Sri Lanka yang mahu mencipta rekod baru bagi kategori manusia paling lama bertahan ditanam hidup-hidup. Pada tahun 2012, lelaki berusia 24 tahun ini mengarahkan rakan-rakannya untuk menanamnya dalam sebuah lubang sedalam tiga meter. Lebih tujuh jam kemudian, mereka menggali semula tanah yang menimbus Janaka.

Hidupkah dia? Janaka didapati sudah tidak bernafas. Walaupun bantuan pernafasan diberikan dan Janaka segera dikejarkan ke hospital, segala-galanya sudah terlambat. Dia disahkan meninggal dunia.

Janaka mati setelah ditanam sedalam tiga meter.
  • Bagaimana pula dengan rekod manusia paling pantas terbang? Lowell Bayles hanyalah seorang jurutera lombong sebelum jadi popular lewat 1920-an setelah melakukan aksi lagak ngeri dengan pesawatnya. Lowell sering dipanggil membuat persembahan di udara.

Pada tahun 1931, berlangsung acara National Air Races di mana Lowell cuba memecahkan rekod kelajuan untuk World Landplane Speed Record. Lowell menerbangkan pesawatnya dengan kelajuan 482 km sejam ketika tragedi berlaku apabila penutup bahan api pesawatnya tanggal dan terbang melalui cermin hadapan, mengenai Lowell hingga dia pengsan. Pesawat itu akhirnya terhempas dan terbakar. Mayat Lowell tercampak 100 meter dari kokpit.

Lowell Bayles terkorban ketika mahu memecahkan rekod kelajuannya.
  • Ini pula tentang menyelam. Antara rekod menyelam paling dalam ialah sedalam 124 meter tanpa menggunakan tabung oksigen. Nicholas Mevoli, lelaki berusia 32 tahun ingin memecahkan rekod tersebut pada tahun 2013 disaksikan para penonton.

Mevoli mula menyelam. Setelah tiga minit 38 saat, dia muncul di permukaan air setelah menyelam sedalam 72 meter. Mulanya Mevoli nampak biasa setelah timbul sebelum tidak sedarkan diri. Walaupun bantuan CPR telah diberikan dan dikejarkan ke hospital, dia akhirnya menemui ajal.

Mevoli tidak sedarkan diri setelah naik ke permukaan air dan akhirnya menemui ajal.

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en

#utusantv #urtv #mastika #saji #wanita #hijabfesyen