Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. GAMBAR: Abd Razak Aid

MAHKAMAH Tinggi hari ini diberitahu bahawa catatan minit Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada surat pelanjutan kontrak syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) bagi pelaksanaan sistem Visa Luar Negara (VLN) bukan satu arahan.

Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Tan Sri Alwi Ibrahim berkata berdasarkan catatan minit oleh Ahmad Zahid pada 18 Okt 2016 yang dihantar kepadanya, ia adalah satu persetujuan.

Catatan minit itu menyatakan “Datuk Seri KSU/ Datuk PUU, saya tiada halangan pelanjutan kontrak tempoh enam tahun sehingga 31 Ogos 2025, seperti tercatat dalam perjanjian perkara 2.2.1 yang sedia ada. Sila sediakan perjanjian tambahan untuk merealisasikannya dengan kadar segera”.

Semasa disoal peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili bekas timbalan perdana menteri itu, berdasarkan ayat pada perenggan 10 kenyataan saksi Alwi, 63, (catatan minit Ahmad Zahid), ia bukan satu arahan tetapi persetujuan, Alwi menjawab: “Setuju.”

Ahmad Zaidi: Apa pemahaman Tan Sri (Alwi) tentang minit Datuk Seri Zahid yang menyatakan ‘merealisasikannya dengan kadar segera’?

Alwi: Pemahaman saya ia perlu dibuat dengan cepat.

Ahmad Zaidi: Berapa cepat, seminggu, dua minggu?

Alwi: Bergantung kepada kontrak sesuatu kes.

Baca: Bekas KSU KDN tidak puas hati Ahmad Zahid lanjut kontrak UKSB terlalu awal

Alwi juga bersetuju dengan Ahmad Zaidi bahawa walaupun ia diminitkan (catatan minit Ahmad Zahid) dengan kadar segera namun ia masih tertakhluk pada prosedur di KDN.

Ahmad Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB sebagai dorongan untuk dirinya, selaku pegawai badan awam iaitu Menteri Dalam Negeri, melanjutkan kontrak syarikat itu sebagai pengendali Perkhidmatan OSC di China dan Sistem VLN serta mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama oleh Kementerian Dalam Negeri.

Bagi tujuh lagi pertuduhan, Ahmad Zahid didakwa sebagai menteri sama telah mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1,150,000, RM3 juta, EURO15,000 dan US$15,000 tanpa balasan daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan kerja rasmi beliau.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa bersambung pada 7 Mac.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram