SERING dihujani soalan berkaitan perkahwinan, pelakon Raysha Rizrose, 26, mengakui tidak selesa dengan sikap orang sekeliling yang seperti tidak menghormati kehidupan peribadinya.

Menurut Raysha, dia yang tidak mahu tertekan dengan pertanyaan oleh orang ramai hanya menganggap ia adalah satu doa dan percaya hari bahagiannya bakal tiba kelak.

“Secara jujurnya, saya memang berasa rimas bukan sahaja dengan orang di sekeliling, tetapi juga keluarga kerana sering mengajukan soalan bila mahu berkahwin?

“Saya anggap pertanyaan tersebut sebagai satu doa dan tidak mahu tertekan. Saya percaya tidak mahu tergesa-gesa untuk mendirikan rumah tangga,” katanya memetik laporan Kosmo!.

Tambah pelakon drama Zahir Tak Terucap itu lagi, perkahwinan itu adalah keinginan dan impiannya malah ia akan berlaku pada bila-bila masa sahaja apabila kedua-dua belah pihak sudah bersedia.

“Apabila saya sudah bersedia, bulan depan pun boleh jadi (berkahwin). contohnya jika merancang setiap tahun, kalau belum jodoh memang tidak akan berlaku juga.

“Namun, bila lihat kakak dan sepupu bertemu jodoh, saya pun terasa ingin berkahwin. Tipulah sepanjang dalam hubungan tidak pernah berbincang soal kahwin tapi setakat berbincang sahaja. Insha-Allah kalau ada jodoh, saya akan berkahwin,” ujarnya.

Malah, Raysha berkata, buat masa ini dia mahu fokus kepada kerjayanya dalam bidang lakonan dan mahu capai lebih banyak kejayaan sebelum bergelar isteri.

“Cuma sekrang fokus adalah karier. Banyak lagi perkara yang ingin dicapai sebelum saya menamatkan zaman bujang,” akhirinya.

Untuk info, Raysha kini sedang menjalin percintaan selama 10 tahun bersama pelumba kereta formula 3, Nabil Jeffri.

Sumber: Kosmo!