PELAKON Ellie Suriaty Omar berkongsi detik mencemaskan apabila tanpa sengaja sabit yang dipegang terpelanting sehingga menyebabkan kecederaan kepada pelakon Shahidan Izwan semasa menjalani penggambaran filem Telaga Suriram, kelmarin.

Menerusi sebuah hantaran di Instagram, Ellie turut memohon maaf kepada Shahidan dan meluahkan rasa bersalah atas insiden yang berlaku.

“Saya menyebabkan kemalangan di set semalam (kelmarin) dalam penggambaran Telaga Suriram.

“Semasa menjalani penggambaran, sabit di tangan Mak Tijah (watak lakonan Ellie) terpelanting dalam pergelutan dengan Jabet sehingga terkena dahi dan hidung Kasa (watak lakonan Shahidan).

“Saya minta maaf serta rasa bersalah yang amat pada Shahidan. Alhamdulillah, syukur Allah. Baik sangat-sangat Shahidan, lembut hati memaafkan saya. Akak minta maaf,” tulisnya.

Insiden sabit terpelanting yang menyebabkan kecederaan di dahi dan hidung Shahidan

Malah, menerusi sebuah entri yang lain, Ellie turut memaklumkan bahawa babak tersebut sudah dilakukan beberapa kali dan tidak menyangka akan berdepan dengan kemalangan.

“Kita dah buat latihan untuk babak itu dan dah ambil beberapa sudut, tiba-tiba terjadi kemalangan yang tidak disangka-sangka.

“Mereka semua saksi kejadian. Terima kasih adik-adik semua kerana tenaga dan aura positif yang ada dalam jiwa kalian,” ujarnya.

Sementara itu, Shahidan turut menjelaskan bahawa kejadian yang berlaku adalah adat semasa berlakon dan tidak menyalahkan mana-mana pihak.

“Kemalangan di set Telaga Suriram, kenangan yang tak boleh dilupakan, sabit rumput terbang ke muka. Tiada sesiapa yang salah.

“Inilah adat semasa berlakon, mesti ada perkara yang tak diingini berlaku. Doakan saya cepat sembuh dan tak sabar nak masuk set semula, nak buat yang terbaik untuk filem Telaga Suriram,” tulisnya di Instagram.

Selain Ellie, filem arahan Osman Ali itu turut dbintangi oleh Farid Kamil, Scha Alyahya, Nabila Huda dan Maya Karin.