WORLD Peace Entertainment Sdn. Bhd. dengan kerjasama Def Jam Recordings Malaysia mengumumkan penyanyi, penulis lagu dan pelakon Naim Daniel telah bekerjasama dengan Joe Flizzow untuk mengeluarkan single baharu berjudul Habis Sini, menandakan kerjasama rasmi pertama antara kedua-dua penghibur itu.

“Saya berasa amat teruja apabila Joe Flizzow bersetuju untuk menyertai saya untuk kolaborasi ini.

“Ia satu penghormatan untuk bekerjasama dengannya,” kata Naim Daniel.

Habis Sini mengisahkan tentang bagaimana dalam kehidupan seharian kita akan bertemu dengan manusia yang leka dengan menyebarkan aib orang lain sedangkan dirinya sendiri masih penuh dengan cela.

Proses rakaman dilakukan pada bulan Ramadan tahun lalu yang hanya memakan masa satu sesi sahaja.

Kata Naim, produksi musik yang dikelola oleh Mas Dewangga dan SonaOne telah memberi satu pengalaman baru, terutama dari SonaOne sendiri kerana ini merupakan kerjasama pertama mereka.

Istimewa untuk peminat-peminat Naim dan Joe, Habis Sini boleh didapati dan dimuat turun di semua streaming platform seperti Spotify, Apple Music, Youtube, JOOX dan lain-lain.