NAMA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memang sentiasa menjadi bualan ramai, khususnya dalam kalangan pemimpin politik serta golongan muda.
Sebagai pemimpin muda, kehadiran Ahli Parlimen Muar itu sentiasa menjadi tumpuan ramai, khususnya generasi muda.
Selain lantang bersuara, keletah atau tindak-tanduk serta kenyataan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ini turut sering ‘mencuit hati’ orang ramai.
Sepanjang pembabitannya dalam arena politik tanah air sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), ada beberapa insiden ‘lucu’ yang membabitkan Syed Saddiq.
Antaranya, memberi gelaran ‘arwah’ kepada calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini daripada partinya sendiri, iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang bertanding menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Wee Jeck Seng semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai pada November 2019.
Insiden ‘tersasul’ tersebut telah dijadikan bahan lawak oleh orang ramai dan ‘senjata’ kempen oleh BN pada ketika itu.
Selain itu, aksi ‘panjat’ pagar di sebuah resort di Ulu Tiram pada Program Rapat Umum Armada Negeri Johor pada Februari 2020 juga menjadi bahan tular oleh netizen.
Terbaharu, Syed Saddiq turut menjadi ‘bahan’ pemimpin politik dan orang ramai kerana tersalah ‘tembak’ sehingga tertuju kepada rakan sekutunya dalam PH, iaitu ADUN PKR. S. Gopalakrishnan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram.

Baca artikel berkaitan: Status anak jati kelebihan Syed Saddiq dalam PRN Johor
Akibatnya, pemimpin Muda tersebut terpaksa mengakui kesilapan dan memohon maaf.
Nyata beberapa insiden seperti ini sepatutnya lebih mematangkan Syed Saddiq supaya ‘buat homework’ sebelum bertindak atau mengeluarkan kenyataan yang boleh memberi cerminan yang buruk kepada dirinya.
Dalam politik, kesilapan-kesilapan seperti itu akan menjadi ‘bola tanggung’ kepada seteru untuk melakukan serangan dan akhirnya boleh mempengaruhi sokongan.
Selain orang ramai, antara pemimpin yang lantang mengkritik Syed Saddiq ialah Datuk Onn Hafiz Ghazi, penyandang kerusi DUN Layang-Layang yang juga Exco Pelancongan, Belia dan Sukan Johor.
“Bila tersalah tembak kawan sendiri terus minta maaf. Sebelum ini, berdegar-degar sembang pasal integriti, prinsip, telus, berani kerana benar, jalan togak, bangkit dan sebagainya. Semuanya sandiwara Oscar yang dimainkan untuk mengaburi mata rakyat,” tulis Onn Hafiz dalam Facebook beliau.
Parti Muda memang masih ‘berhingus’ dalam arena politik negara. Namun, andai tidak dijaga dan dipimpin dengan baik serta matang, parti yang berpotensi untuk menarik sokongan pengundi ini pasti tidak akan mampu bertahan lama.
Kepimpinan Muda bukan sahaja harus terdiri daripada golongan muda, malah mampu membawa aspirasi dan kehendak generasi baharu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di Facebook, Twitter, Instagram & Telegram