Adham Baba (baju biru - kanan) beramah mesra dengan wakil media di Johor Bahru, hari ini

BARISAN Nasional (BN) akan menawarkan manifesto terbaik yang merangkumi setiap peringkat masyarakat daripada golongan muda sehingga warga emas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Penerangan UMNO Johor, Datuk Seri Dr. Adham Baba memaklumkan, manifesto itu akan menggariskan lima objektif serta matlamat utama bagi memastikan kerajaan negeri yang dibentuk sekiran BN memenangi PRN berkenaan adalah kuat, kukuh dan stabil.

“Kita yakin manifesto BN ini bukan sahaja mampu beri peluang dan ruang pekerjaan pada rakyat Johor, malah mewujudkan kerajaan negeri yang cekap dan berintegriti.

“Fokus utama manifesto BN akan menyentuh penyediaan pendidikan yang lebih baik selain fokus pada taraf hidup rakyat yang lebih baik.

“Manifesto BN juga akan menggariskan Johor sebagai kuasa ekonomi baharu negara supaya kita dapat bersaing dengan negara serantau,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan wakil media, hari ini.

Baca artikel berkaitan: PRN Johor: Guna media sosial, jangan berkempen cara konvensional – Zahid Hamidi

Dr. Adham yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, BN Johor akan melakukan pembaharuan pada PRN Johor dengan mewajibkan semua 56 calonnya melantik pegawai media.

Langkah itu dibuat bagi membolehkan setiap calon dapat menyampaikan maklumat terutamanya isu-isu semasa kepada pengundi dengan lebih berkesan.

“Lantikan pegawai media untuk 56 calon Dewan Undangan Negeri (DUN) BN untuk PRN Johor ini adalah antara pembaharuan yang akan kita lakukan.

“BN mengambil maklum suara pengundi yang mahukan setiap calon pilihan raya tampil lebih mesra rakyat dan mudah didekati sesiapa pun.

“Langkah ini juga akan memudahkan pengundi selain media mendapat maklumat segera daripada calon terutamanya apabila timbul isu berbangkit yang perlu dijawab,” katanya. 

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram