AKHIRNYA usaha Kelab Sokongan Ibu Tunggal (KSIT) mengadakan program Sembang Santai bersama  Cik Nina, seorang peguam berjaya dilaksanakan baru-baru ini. Bukan sebelum ini tidak pernah diadakan sembang seperti ini, ada, tetapi disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) maka banyak usaha KSIT mengadakan majlis terpaksa ditangguh beberapa kali.   

Tambahan pula, pandangan daripada lebih ramai peguam akan membawa lebih banyak ilmu buat ibu tunggal yang kemudiannya akan dikumpulkan untuk  dijadikan idea buat mempersiapkan diri apabila membuat tuntuan ke mahkamah syariah nanti.   

Kerana tanpa ilmu, apa juga usaha dibuat untuk mengenengahkan kes tuntutan sama ada nafkah, hadanah, mutaah, harta sepencarian dan sebagainya tidak mungkin terlaksana.   

Seperti pepatah Melayu, jauh perjalanan luas pandangan, samalah juga mendengar banyak pandangan boleh menambah lebih banyak ilmu. 

Program yang berlangsung di dewan seminar Masjid Bandar Baru Bangi mendapat sambutan. Cukup banyak persoalan yang berjaya dirungkaikan jawapan dan penjelasannya.

Ramai ibu tunggal mengeluh permohonan mereka untuk mendapatkan nafkah anak memakan masa yang panjang, bertahun-tahun tak selesai. Sudahlah bertahun turun naik mahkamah berjuang mendapatkan hak nafkah anak tetapi apabila sudah berjaya dapatkan perintah penghakiman, si bapa pula lari hilang entah ke mana.

Hasil  pengamatan KSIT selama ini, kebanyakan masalah didakwa berpunca daripada banyak sebab antaranya hakim sering bertukar tanpa pengganti, masalah dengan peguam serta juga kecetekan ilmu perundangan syarie si ibu tunggal itu sendiri.  Malah isu lemaknya perlaksanaan penguatkuasaan oleh pihak berwajib juga merupakan salah satu faktor mengapa si bapa dan waris berjaya lepaskan diri.

Sepatutnya apabila si bapa menghilangkan diri ataupun mengelakkan diri daripada membayar nafkah anak-anak, maka pihak mahkamah serta para ustaz dan ustazah haruslah memainkan peranan secara serius. Si bapa dan waris harus diperingatkan untuk mematuhi tuntutan agama dan  WAJIB bertanggungjawab menanggung nafkah anak-anak ini. 

Malangnya  apa yang banyak, kebanyakan waris sebelah si bapa ini juga bersikap lepas tangan, tidak ambil kisah akan tanggungjawab ke atas anak-anak mangsa perceraian ini. Waris-waris ini boleh didakwa di mahkamah atas kecuaian mereka menanggung nafkah anak anak ini.

Sembang Santai Cik Nina turut menjelaskan sewaktu si ibu membuat tuntutan atau membuat permohonan induk nafkah anak, mereka  dalam masa yang sama juga boleh membuat permohonan atau membuka fail interim tuntutan nafkah anak.   

Dengan cara ini, lebih mudah untuk si ibu mendapatkan perintah sementara nafkah anak sebelum mahkamah memutuskan amaun nafkah sebenar yang patut dibayar. Dengan cara ini, anak-anak mangsa perceraian dapat meneruskan kehidupan dengan belanja makan, pakai, persekolahan dan kesihatan.

Dengan perintah pemberian nafkah yang patut ditanggung oleh waris si bapa, maka anak-anak ini mampu hidup seperti anak-anak lain dan tidak mengikis rasa hormat si anak terhadap bapa mereka.

Kata beliau lagi, Perintah Interim ini akan terbatal sebaik sahaja mahkamah selesai membicarakan permohonan induk nafkah anak. Di sini tak kiralah, jika kes induk lambat selesai atas sebab-sebab tertentu maka hak dan kebajikan si anak terus terpelihara.

Malah difahamkan permohonan interim nafkah ini tidak memakan masa yang lama, hanya beberapa bulan sahaja. Paling lewat pun tidak sampai setahun berbanding tempoh masa untuk mendapatkan perintah induk nafkah anak.  

Jadi disarankan agar ibu tunggal yang ingin membuat tuntutan nafkah untuk anak anak, sebaiknya buatlah tuntutan interim nafkah anak juga agar masa depan anak lebih terjamin dan isu nafkah tidak lagi terbeban kepada ibu sahaja. 

Kebiasannya sebelum ini, ramai dari kalangan ibu tinggal hanya membuat tuntutan induk nafkah anak dan disebabkan proses tuntutan memakan masa yang lama, banyak wang ringgit terbuang namun kes masih tidak selesai. Malah ada yang bertindak tidak mahu meneruskan tuntutan.

Maka bertepuk tangan dan bersorak sorailah bekas suami serta waris warisnya bahawa mereka sudah terlepas daripada tuntutan bayar nafkah anak. Meskipun terlepas daripada tuntutan serta hukum dunia tetapi mereka tetap akan didakwa di akhirat nanti kerana cuai dan sengaja engkar perintah Allah SWT.

Bagi ibu tunggal yang sudah memfailkan tuntutan nafkah induk terlebih dahulu, tetapi setelah tiga bulan kes nafkah masih tidak ada perkembangan, masih tidak terlambat untuk memfailkan permohonan interim nafkah anak.

Mungkin dengan cara ini,  pihak mahkamah  yang mengendalikan kes induk nafkah anak ini  akan tersedar,  bahawa mereka telah terlambat bertindak, ada insan kerdil yang terseksa kerana tiada perintah jelas akan nafkah tersebut.    

Rasanya sampai setakat ini dahulu KSIT membicarakan hal tuntutan nafkah anak, Insya Allah, pada masa akan datang KSIT akan menganjurkan lagi Sembang Santai 2 bagi membincangkan isu-isu lain pula namun tetap berkait perceraian dan tuntutan ibu tunggal.   

Sementara itu, Puan Zureen ketika menghubungi penulis memberitahu, dia ingin hadir ke program Sembang Santai, tetapi disebabkan kesihatan anak yang terganggu, dia terpaksa melupakan hasratnya. Namun beliau menyatakan, amat bertuahlah bagi ibu yang bijak lagi pandai untuk membawa kes mereka ke mahkamah untuk menuntut nafkah. 

“Tetapi bukan orang mampu, macam saya sudahlah tak bersekolah tinggi, pendapatan tak seberapa nak bawa kes ke mahkamah memang menyulitkan. Akhirnya saya minta bantuan Biro Bantuan Guaman. Kes terpanggang bertahun tahun. Saya tak tahu apa masalahnya, sebab bila saya tanya, saya disuruh bersabar dan bersabar. 

“Pernah dua kali ke mahkamah, tetapi bekas suami tak hadir, hakim tangguhkan kes. Cuti saya terbuang, duit habis, sekolah anak tergendala, akhirnya saya gugurkan kes, sebab tak ada gunanya, tak sampai ke mana pun. Seolah-olah saya langsung tak dipedulikan oleh mahkamah. Bekas suami tak hadir, tidak ada pula tindakan kepadanya. Hakim memang tak adil, lebih utamakan bekas suami. Buang masa aja! 

“Sepatutnya hakim, menteri agama ke atau sesiapa yang tahu bab undang undang, buatlah satu keputusan, sebaik sahaja seseorang isteri itu diceraikan, hakim terus jatuhkan hukum berapa jumlah nafkah yang mesti diberi sebagai nafkah untuk anak anak. 

“Saya dan ramai ibu tunggal lain tak ada masa nak turun naik mahkamah, sebab banyak makan belanja. Pendapatan kami kecil. Anak perlu diuruskan untuk ke sekolah, tadika dan sebagainya, kalau saya ke mahkamah, terhentilah semua pelajaran anak anak. 

“Kalau mahkamah sentiasa bertangguh bertahun-tahun, bekas suami bukan sahaja kahwin baru, malah akan lahir anak baru, keluarga baru, maka dia akan beri alasan tak ada duit nak bagi nafkah, sebab ada keluarga baru, yang dia kena tanggung nafkah. Masalahnya apa hal dengan anak-anak terdahulu. Apakah anak-anak ini bukan anak dia lagi selepas saya diceraikan? Dan terputuslah hubungan dia dengan anak anaknya? Dan dia tak perlu bagi nafkah? Begitu? 

“Kalau minggu lepas saya baca DCCK berkata `Poligami memalukan orang Islam’, sebaliknya suami yang tak mahu bagi nafkah kepada anak anaknya sendiri, lebih memalukan orang Islam, kerana bukan sahaja si ayah itu tak bertanggungjawab, malah menentang amanah yang ditentukan oleh Allah swt ke atasnya. 

“Cerita tentang bekas suami tak bagi nafkah kepada anak anaknya, sudah menjadi buah mulut masyarakat bukan Melayu. Kerana mereka melihat betapa seksanya ibu-ibu tunggal terpaksa bekerja membanting tulang menyara anak anak, sedangkan bekas suami enjoy dengan kekasih dan isteri baru mereka. Hingga ada kes tertentu kerana terlalu susah dan terdesak ada ibu-ibu tunggal terpaksa meminta bantuan dari pihak gereja. Tak malu ke orang Islam? Tak malu ke hakim, tak malu ke Menteri Agama?  

“Beri nafkah anak-anak tidak ada pilihan, itu tanggungjawab dan wajib ke atas seorang ayah, tetapi berpoligami hanya dibolehkan oleh Islam,  jika lelaki itu mampu. Lelaki akan mengaku mampu ketika hendak berpoligami, setelah kahwin, dia akan lupakan tanggungjawabnya. Ini bukan tuduhan, tetapi kebenaran,’’ demikian dakwa puan Zureen melahirkan isi hatinya, dan dia  berhempas pulas menyara empat orang anaknya tanpa nafkah daripada bekas suami walau selepas lima tahun bercerai.