PENYANYI legenda Bollywood, Lata Mangeshkar,92, meninggal dunia hari ini (Ahad) akibat wabak Covid-19.

Sebelum ini, Lata dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Breach Candy selepas dijangkiti virus tersebut pada 11 Januari lalu.

Berita duka itu pastinya diratapi seluruh penggiat seni industri hiburan India termasuklah Perdana Menteri, Narendra Modi yang turut berkongsi kesedihaan menerusi ciapan di Twitter miliknya.

“Saya berasa sangat sedih. Lata Didi (panggilan nama Lata Mangeshkar) seorang yang baik hati dan penyayang telah meninggalkan kita semua.

“Kehilangannya ibarat kekosongan yang tidak boleh diisi,” ciapnya di Twitter.

ARTIKEL BERKAITAN : Penyanyi terkenal India, Lata Mangeshkar dimasukkan ke ICU selepas positif Covid-19

Lata dilahirkan di Indore pada 28 September 1929 dan memulakan karier nyanyiannya seawal usia 13 tahun pada 1942.

Lata mendapat pendedahan awal dalam muzik selepas diajar oleh ayahnya, Deenanath Mangeshkar ketika berusia lima tahun.

Selepas bapanya meninggal dunia, Lata bertanggungjawab menjaga ibu serta empat orang adiknya.

Kemudian, Lata dan keluarganya berpindah ke Mumbai dan filem Aapki Sewa Mein adalah naskhah pertama yang memberi peluang Lata menyanyi pada 1947.

Sepanjang hayatnya, Lata telah merakamkan lebih 30,000 buah lagu dan lebih 1,000 filem yang menggunakan suaranya dalam nyanyian.

Lata tidak pernah berkahwin dan tidak mempunyai anak.