ZAMAN sekarang berlumba-lumba orang mahu kurus. Dan muncul pula pelbagai kaedah dan langkah untuk mengurangkan berat badan. Sama ada kaedah selamat dan sihat, ataupun cara singkat dengan pembedahan tak kurang juga yang membahayakan dengan pengambilan ubat-ubatan atau pelbagai produk.

Zaman dahulu pun tak kurang juga ramai yang mempromosikan cara mahu kurus. Pernah tak anda dengar kurus dengan hanya memakan cacing? Ewww… geli bila membayangkannya.

Salah satu metod untuk kurus suatu ketika dahulu ialah dengan memakan cacing pita yang juga dikenali sebagai ‘tapeworm diet’. Dengan metod aneh ini, pengamalnya tidak perlu pening kepala memikirkan hal-hal remeh seperti penjagaan pemakanan dan senaman untuk membakar kalori. Sebaliknya, hanya menelan cacing pita, berat badan akan turun dengan mudah.

Konsepnya begini, setelah menelan cacing pita, haiwan panjang itu akan dibiarkan hidup membiak di dalam usus sehingga mencapai ratusan ribu banyaknya. Selama tinggal dalam tubuh badan, cacing-cacing itu tidak akan duduk diam. Ia terus bekerja dengan memakan apa sahaja yang anda jamah setiap hari. ‘Mereka’ juga secara berterusan menyerap zat-zat dan lemak sehinggalah berat badan turun mendadak.

Rawatan pelik menggunakan cacing pita ini pernah popular dahulu.
Iklan zaman dahulu yang menawarkan diet cacing pita untuk kurus.

Rawatan pelik diet cacing pita ini pernah popular di London, sekitar tahun 1830 hingga 1900. Pada masa itu, terdapat iklan mempromosikannya sebagai ‘mudah ditelan’ dan ‘senjata melawan lemak’.

Kesan daripada iklan tersebut telah menarik ramai kaum wanita pada ketika itu untuk menelan pil yang mengandungi cacing pita. Dikatakan, cacing-cacing tersebut akan menetas di dalam usus dan setelah itu bermulalah proses pengurangan berat badan.

Dikatakan sampai zaman moden ini, rawatan sedemikian masih ada lagi ditawarkan di beberapa buah negara termasuk di Mexico. Di sana, terdapat beberapa buah klinik cacing pita disebut Worm Therapy. Klinik ini secara terbuka menawarkan kepada orang ramai ubat khas daripada cacing pita lembu bersaiz mikroskopik yang diyakini dapat menurunkan berat badan. Anggaran kos rawatan ini adalah sekitar USD1,500.

Beberapa tahun lalu, seorang wanita dari Amerika Syarikat dilaporkan telah menelan cacing parasit kerana obsesi yang sama. Wanita itu mengakui membeli cacing tersebut dari Internet dan kemudian menelannya. Sebelum itu, seorang pengamal diet di Hong Kong turut mendedahkan menggunakan kaedah rawatan yang serupa untuk kelihatan kurus dan ramping.

Pengarah Perubatan dari Jabatan Kesihatan Iowa, Dr. Patricia Quinlisk menjelaskan bahawa cara yang dipilih itu sangat berbahaya. Ini kerana cacing pita berisiko menyebabkan pelbagai kesan sampingan, termasuk kematian.

Menurutnya, terdapat beberapa jenis cacing pita. Cacing yang terdapat di dalam daging lembu atau secara saintifiknya dipanggil Taenia saginata adalah paling biasa digunakan dalam rawatan menghilangkan berat badan ini.

Keadaan usus yang dipenuhi cacing.

Taenia saginata, juga sinonim dengan nama Taeniarhynchus saginata umumnya dikenali sebagai cacing pita zoonosis dan dikenali sebagai spesies terbesar dalam kumpulannya. Cacing dewasa biasanya berukuran sekitar empat hingga 10 meter panjang dan dikirakan boleh membesar sehingga melebihi 22 meter panjang.

Cacing jenis ini memiliki tekstur badan yang rata menyerupai pita dan beruas-ruas. Ia terdiri daripada tiga bahagian, kepala disebut scolex, leher dan strobila. Scolex iaitu kepalanya mempunyai empat penyedut besar.

Setelah ubat berisi cacing pita ini dicerna, kepala parasit akan menempel kuat pada dinding usus manusia. Cacing ini kemudian merangkak dan mulai membesar sebelum membiak. Setiap larva cacing yang dibiakkan mampu bertahan hidup di dalam tubuh manusia sehingga 30 tahun.

Secara teknikal, cacing pita yang masuk ke dalam tubuh manusia boleh menyebabkan jangkitan dipanggil teaniasi yang boleh menyebabkan mual, lemah, hilang selera makan, cirit-birit dan berat badan menurun.

Dr. Quinlisk menambah, jangkitan itu boleh membawa maut kerana cacing pita yang hidup di dalam saluran pencernaan manusia mampu berpindah tempat. Dari usus, larva parasit itu boleh bergerak melalui aliran darah sehingga akhirnya membenamkan diri ke dalam organ-organ lain yang membentuk bonjolan.

Bonjolan itu akan mencetuskan gejala sakit seperti demam, reaksi alergi, sakit kepala, kejang dan sesak nafas. Malah, boleh menyebabkan kematian jika cacing pita membenam di dalam otak atau jantung.

Sebab itu, rawatan diet cacing pita ini untuk menguruskan badan telah diharamkan di kebanyakan negara di seluruh dunia.

Sanggupkah anda telan pil berisi cacing ini hanya untuk kurus?

_______

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Untuk lebih berita terkini sila layari laman web kami di https://utusantv.com/ atau ikuti media sosial rasmi UtusanTV:

Facebook: https://www.facebook.com/utusantv

Twitter: https://twitter.com/UtusanTV

Instagram: https://www.instagram.com/utusantv/?hl=en