WALAUPUN secara terbuka mengkritik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan skuad kebangsaan baru-baru ini, namun Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim tidak akan dikenakan sebarang tindakan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi Jawatankuasa Undang-Undang FAM, Saaran Nadarajah seperti dilapor BH Online.

Menurut Saaran, apa yang dinyatakan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu adalah pandangan peribadi sebagai bekas Presiden FAM.

Saaran berkata, kenyataan dilakukan Tunku Ismail adalah kritikan membina demi kebaikan pasukan bola sepak kebangsaan.

Pada masa sama, Saaran memaklumkan, ia juga berdasarkan pengalaman TMJ ketika memegang jawatan sebagai Presiden FAM.

“FAM sentiasa terbuka dalam menerima kritikan dan sebab itulah kita telah meminda Artikel 88 dalam Statut FAM ke Artikel 82 pada tahun 2020 bagi memberi kelonggaran kepada mereka yang membuat kritikan membina untuk kebaikan dan kemajuan bola sepak kita.

“FAM buat masa ini menganggap Artikel 61 dalam Kod Tatatertib FAM dan juga Artikel 82 dalam Statut FAM masih relevan serta berfungsi dengan baik,” katanya.

Baca artikel berkaitan: “Jangan nak temberang,” kata Tunku Ismail selepas Teong Kim nafi minta gaji mahal

Mengulas lanjut, Saaran menegaskan pihaknya tetap akan memantau jika terdapat mana-mana individu yang membuat komen melampaui batas terhadap badan induk bola sepak itu.

“Pihak Jawatankuasa Tatatertib FAM tetap akan memantau situasi semasa jika terdapat mana-mana pegawai pasukan atau pemimpin persatuan dan juga kelab lain yang mengeluarkan komen atau kenyataan yang berniat jahat atau melampaui batas,” jelas beliau.

Sebelum ini, bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Kamarudin Abdullah berpandangan pemilik JDT itu boleh dikenakan sebarang hukuman yang dirasakan wajar oleh FAM seperti yang pernah ‘dirasai’ ramai individu dalam bola sepak sebelum ini.

Tegasnya, FAM perlu berani untuk mengenakan tindakan kepada mana-mana individu atau pihak yang didapati melanggar undang-undang bola sepak bagi memastikan badan induk itu sentiasa telus.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di FacebookTwitterInstagram & Telegram