KEMUNCULAN Iqbal Zulkefli sebagai salah seorang peserta program realiti Big Stage 2022 (BS22) semalam nyata telah mengejutkan ramai pihak.
Malah, penyertaan pelantun lagu Hujan itu telah mencetuskan kontroversi serta perdebatan dalam kalangan netizen yang menyifatkan pemilihan Iqbal hanya salah satu cara untuk menaikkan ‘rating’ program tersebut.
“Kerja yang bagus Astro, memang sengaja nak naik rating dengan jemput mamat ni masuk,” kata @Fiezal121.
“Kejam, Astro berbahagia atas penderitaan orang lain, demi secubit rating,” ujar @Freddejr.
“Melampau Astro ni, buat macam ini untuk naikkan rating,” dakwa @Rafidahc.
Namun, Pengurus Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, tampil memberi penjelasan bahawa Iqbal memenuhi kriteria-kriteria yang diperlukan dan layak diberi peluang sebagai peserta BS2022.
“Daripada segi kriteria yang ditetapkan Iqbal telah memenuhi syarat had umur 30 tahun dan memiliki video muzik dengan sekurang-kurangnya 500,000 tontonan.
“Dalam BS22 kali ini juga kami tampilkan peserta yang pelbagai. Kami menyediakan platform dan selebihnya terpulang kepada juri untuk menilai,” katanya memetik laporan mStar.
Bukan itu sahaja, netizen turut meramal drama percintaan Iqbal bersama Datuk Seri Vida sebelum ini bakal kembali apabila usahawan kosmetik itu dipilih sebagai ‘presiden netizen’ dalam program ini.
Kisah Vida dan Iqbal pernah menjadi kontroversi hangat apabila kisah percintaan termasuklah perancangan ingin berkahwin telah bertebaran luas hingga menjadi perbualan warganet sekitar Ogos tahun lalu.
Minggu pertama di BS22, Iqbal menyanyikan lagu Biarlah Bulan Bicara yang merupakan lagu asal milik Broery Marantika.
Barisan juri memberikan 28.8 peratus markah kepada Iqbal sekaligus menjadikan dia peserta yang paling terendah dari segi pemarkahan.
Selain Iqbal, BS22 turut menampilkan 11 peserta lain iaitu Aisha Retno, Elica Paujin, Lia Aziz, Yasmin Aziz, Sofiaa Marieylla, Megat Rahim, Ajoi Zainal, Danial Chuer, Tuah Adzmi, Syafiq Abdilah dan Tegar Septian.

